Impian nelayan miliki rumah terlaksana

in Edisi by


PONTIAN – Impian nelayan membawa isteri dan tiga anak di rumah lebih selesa akhirnya terlaksana apabila mereka menerima rumah baharu di bawah Projek Pembinaan Ihsan Johor di Kampung Sungai Chengkih Serkat.


Rumah Ihsan Johor ke-36 itu kini menjadi kediaman Zaharudin Md Nor, 49, dan keluarga yang dahulunya terpaksa menumpang di rumah ibu kerana tidak mampu membayar sewa disebabkan ketiadaan sumber pendapatan.


Menurut Zaharudin, rumah tersebut dibina di atas tanah milik keluarganya memandangkan anak-anak semakin membesar selain keinginan untuk memiliki rumah sendiri sepertimana pasangan suami isteri lain.


“Saya kurang sihat, kadang-kadang melakukan pekerjaan nelayan atau bekerja kampung, ada masanya berbulan-bulan saya tidak bekerja.


“Tidak sangka rumah baharu yang mempunyai 3 bilik dan 1 bilik air dapat disiapkan tenaga sukarelawan 30 orang,” katanya selepas penyerahan kunci oleh Presiden Pengasas Pertubuhan Ihsan Johor, Suhaimi Salleh.


Sementara itu, Suhami Salleh berkata, rumah ini dibina dengan kos RM48,000 mengikut masa ditetapkan sepertimana yang dilakukan pada projek-projek sebelum ini di seluruh negeri Johor.


Katanya, penglibatan tenaga sukarelawan Ihsan Johor Rangers, Kolej Sayong Didik serta pelajar-pelajar Institut Latihan Kementerian Kesihatan, Johor Bahru telah menyiapkan rumah tersebut dalam masa tiga hari.


Jelas beliau, mereka mempunyai pelbagai kemahiran seperti pertukangan, asas pendawaian elektrik, kerja-kerja perpaipan memandangkan tiada pihak luar yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan ini.


“Pembinaan Rumah Ihsan Johor ini bertujuan menjadikan kerja-kerja sukarelawan sebagai satu budaya bagi golongan muda sejajar dengan  Gagasan Johor Berkemajuan bagi memastikan golongan yang kurang bernasib baik dapat dibantu,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]