Komited lahirkan komuniti bermaklumat

in Nasional by


PASIR PUTEH – Program Negaraku: Menghubung Menyatu @ Pasir Puteh yang digerakkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkesan dalam menyediakan infrastruktur termasuk kemudahan mengakses jakur lebar di luar bandar.


Program dimulakan sejak dua tahun lalu memberi manfaat kepada rakyat menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).


Di Pasir Puteh, KKMM bersama Jabatan Penerangan Malaysia dan Komuniti 1Malaysia mendekati penduduk di Kampung Tualang Rendah, Kedai Menanti, Bukit Abal, Kampung Berangan, Kampung Danan dan Banir Belikong.


Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata, program itu bertujuan untuk melahirkan komuniti bermaklumat selain mengukuhkan silaturahim antara rakyat, pemimpin dan agensi kerajaan.


“Kita turun padang dan menyelasaikan masalah rakyat, membaik pulih rumah yang memberi manfaat kepada 189 keluarga di seluruh negara.

Dr Sharifah Zarah meletakkan plak di kediaman penerima bantuan baik pulih rumah.


“Sebanyak 149 daripadanya siap sepenuhnya sementara selebihnya dijangka siap dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,” katanya.


Menurutnya, di samping menyediakan kemudahan televisyen dan Astro Enjoi, kemudahan mengakses internet di kawasan luar bandar ditingkatkan.


Katanya, apa yang penting, rakyat tidak ketinggalan dalam penerimaan maklumat yang disalurkan kerajaan.


“Melalui program Ziarah Kasih hari ini, kita bertemu secara bersenuka dengan masyarakat, merasai denyut nadi rakyat dan bersedia untuk bertindak menyelesaikan permasalahan,” katanya.


Turut hadir; Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik), Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Sukari Ab Hamid; Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik KKMM, Roselindawati Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kelantan, Azhar Ismail.

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]