Mahu Ahmad Shabery dicalon semula

in Edisi by


KEMAMAN – Adun Kemasik, Ir Rosli Othman secara peribadi berharap agar Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dipilih sekali lagi sebagai calon BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Kemaman pada PRU14 kali ini.


Rosli yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Kemaman berkata, sokongan beliau terhadap penyandang P040 Parlimen Kemaman itu berikutan komitmen jitu yang diberikan Ahmad Shabery dalam menggerakkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kemaman.


Katanya, gerak kerja PDM lancar kerana adanya peruntukan disalurkan Ahmad Shabery yang juga Timbalan Umno Bahagian Kemaman merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.


“PDM kita dapat digerakkan dengan lancar disebabkan mempunyai peruntukan mencukupi dan peruntukan itu kita peroleh dari Ahli Parlimen Kemaman yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery dan tidak perlu kita tunggu peruntukan pilihan raya.


“Setiap PDM terima RM10,000 yang bolehkan PDM dibuka dan diaktifkan selain peruntukan itu turut menampung perbelanjaan sehingga tiba penamaan calon dan ia menjadi keistimewaan yang terdapat di Parlimen Kemaman,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Pembangunan Kemaman yang diadakan di Padang Astaka, Chukai, di sini.


Ahmad Shabery yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman sejak tiga penggal lalu.


Dalam PRU13 lalu, Ahmad  Shabery, 60, yang memperoleh 45,525 undi menewaskan calon PKR, Kamarudin Chik yang mendapat 33,219 undi dengan majoriti kemenangan sebanyak 12,306 undi.


Mengulas lanjut, Rosli berkata, sikap cakna kesemua kepimpinan Umno Bahagian Kemaman yang diterajui Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Ahmad Said; Ahmad Shabery dan Naib Ketua Umno Bahagian, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid memberi kelebihan untuk Umno terus menang dalam PRU14 nanti.


“Saya bukan nak puji, cuma memang hakikatnya kita mempunyai gandingan pemimpin yang mantap,” katanya lagi.


Tambahnya, atas nasihat Ketua Umno Bahagian Kemaman, setiap PDM di setiap kawasan di Parlimen Kemaman yang dibuka turut dibuat majlis perasmian.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]