Malaysia tempat operasi jenayah bersindiket?

in Nasional by


SHAH ALAM – Insiden seorang imam warga Palestin ditembak pagi tadi menandakan jenayah bersindiket yang menyasarkan mangsa tertentu semakin bertapak di negara ini.


Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tembakan sebanyak 10 das ke arah Dr Fadi Albatsh seperti dilaporkan media menunjukkan ia adalah pembunuhan yang dirancang rapi.


“Berita mengejut ini sangat menyedihkan kerana Malaysia sepatutnya menjadi tempat selamat untuk warga Palestin atau kepada mana-mana pelarian akibat konflik di negara asal. Insiden membunuh secara terbuka di kawasan awam oleh pembunuh upahan kini nampaknya menjadi gejala yang tidak asing di Malaysia.


“Kejadian pembunuhan sebegini menandakan jenayah bersindiket untuk menyasar seseorang mangsa di Malaysia semakin bertapak di negara ini, yang selama ini dianggap negara aman dan boleh menjadi tempat perlindungan untuk warga Palestin dan warga lain. Pembunuhan warga Korea sebelum ini juga menunjukkan ada percubaan menjadikan Malaysia tempat melancarkan operasi jenayah bersindiket,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mohd Azmi turut menggesa polis menjalankan siasatan terperinci untuk mengesan penjenayah dan pihak yang mendalangi pembunuhan tersebut.


“Pembunuhan warga Palestin kini telah berlaku di beberapa negara yang melibatkan operasi inteligen Mossad Israel. Kami menggesa siasatan dilaksanakan segera untuk membongkar motif pembunuhan tersebut.


“Malaysia tidak boleh dibiarkan menjadi tapak sindiket pembunuhan secara upahan,” katanya.


Menurutnya, Mapim berharap keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian berat ini.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]