MyCARE kehilangan seorang imam

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) kehilangan seorang imam terpilih bagi Program Imam Terawih sejak 2014 lepas  pemergian Dr. Fadi Al Batsh yang maut ditembak hari ini.


Ketua Pegawai Eksekutif MYCARE Kamarulzaman Shaharul Anwar berkata Fadi sering mengimamkan solat terawih di masjid-masjid yang dikunjunginya menerusi program itu di seluruh negara pada bulan Ramadan.


“Saya harap pihak berkuasa menyiasat punca pembunuhan ini dan apa kesannya kepada keselamatan rakyat Palestin yang ramai di negara ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menziarahi isteri mangsa di kondominium di Jalan Meranti, Setapak hari ini.


“Difahamkan isterinya turun ke bawah kondominium untuk mencari Fadi tetapi terkejut dan pengsan setelah melihat tubuh Fadi terbujur di atas jalan terkena tembakan,” katanya.


MyCARE turut memberikan sumbangan kewangan dan rawatan perubatan kepada isteri Fadi yang masih trauma.


Sementara itu jiran Fadi ketika di Gaza, Ahmad Shehaz, 28, berkata  serangan itu  berkemungkinan  dikaitkan dengan agensi perisikan Israel, Mossad.


Ahmad yang merupakan pelajar sarjana muda Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor, berkata rakyat Palestin mempercayai bahawa Malaysia merupakan negara yang selamat bagi mereka dan kejadian itu adalah sesuatu yang mengejutkan.


“Terdapat lebih 5,000 pelajar Palestin di sini tetapi mengapa suspek memilih Fadi ,” katanya  kepada pemberita selepas menziarahi isteri mangsa.


Ahmad berkata beliau segera datang ke Kuala Lumpur dari Johor Bharu setelah mendapat khabar mengenai pembunuhan Fadi bagi menziarahi keluarga mangsa sepertimana yang lazim mereka lakukan di tanah air.


Tinjauan Bernama mendapati kondominium itu tidak putus-putus menerima kunjungan rakyat Palestin yang datang menziarahi isteri dan tiga anak Allahyarham Fadi yang tinggal di tingkat 11 kondominium itu sehingga petang ini.


Dalam  kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi tadi mangsa yang merupakan seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta maut selepas ditembak dua lelaki yang menaiki motosikal berkuasa tinggi ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat Subuh di surau berhampiran kondominium yang didiaminya. – Bernama


 


 


 


 


Saturday , 21 April 2018

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]