Pas dapatkan penjelasan PBT

in Edisi Selangor KL by


KUALA SELANGOR – Pas Kawasan Kuala Selangor menyuarakan hasrat untuk memperkenalkan calonnya di Stadium Terbuka Kuala Selangor jika tiada halangan mana-mana pihak.


Yang Dipertuanya, Muhammad Rashid Muhammad Kassim berkata, hasrat itu disuarakan berikutan stadium terbuka itu boleh dipohon untuk kegunaan program parti.


“Asalnya, saya difahamkan premis kerajaan tidak boleh digunakan untuk program parti seperti mana pekeliling yang dikeluarkan kerajaan negeri termasuk Stadium Kuala Selangor.


“Tapi bila dapat maklum program parti Pakatan Harapan (Harapan) boleh buat di stadium, Pas Kawasan Kuala Selangor tampil memohon penjelasan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.


Muhammad Rashid yang juga calon untuk kerusi Dun Bukit Melawati itu berkata, pihaknya juga menyerahkan memorandum bantahan penggunaan premis kerajaan untuk program parti kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Rahilah Rahmat.


Bagaimanapun katanya, pertemuan bersama ketua penyerahan memorandum, Mohd Aris Abu Hussain itu memberi pencerahan cukup baik sekali gus menjawab semua persoalan.


“Awalnya, kami ada pelbagai persoalan memandangkan sebelum ni, Pas ada mohon untuk penggunaan stadium bagi program parti bagaimanapun tidak diluluskan.


“Bertitik-tolak dari insiden itu, kami tertanya-tanya bagaimana program Harapan boleh diadakan di stadium sedangkan program Pas dihalang? Tapi selepas diperjelaskan dengan teliti, Alhamdulillah dapat diselesaikan.


“Hasil pertemuan, hanya stadium tertutup sahaja tidak boleh digunakan untuk program parti tapi stadium terbuka boleh tanpa sebarang halangan. Jadi menggambarkan satu keadilan buat semua parti,” katanya.


Katanya, Pas Kawasan Kuala Selangor juga akan memohon penggunaan stadium terbuka itu untuk majlis pengisytiharan dan pengenalan calon dalam masa terdekat.


“Kemudahan ini sememangnya diperlukan memandangkan kawasan luas dan sesuai untuk penyokong Pas hadir memberikan sokongan.


“Insya-ALLAH kami akan panjangkan permohonan dan diharapkan berjalan lancar tanpa sebarang halangan,” katanya kepada Sinar Harian di pekarangan lobi MDKS.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]