Pas sukar jadi 'king'

in Politik by


SHAH ALAM – Hasrat Pas untuk menjadi ‘king’ di peringkat Persekutuan dan Selangor diramal sukar pada PRU14 memandangkan terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira selain jumlah kerusi yang ditandingi.


Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, Pas bertanding di banyak kerusi pada PRU14 kerana menganggap mereka akan menjadi ‘King’.


“Pas boleh teruskan angan-angan itu, realitinya mereka tidak lagi bersama Harapan pada PRU kali ini menyebabkan jenteranya tidak lagi sekuat PRU13.


“Sokongan pada PRU14 nanti sudah pasti berbeza kerana Pas tidak lagi disokong oleh pengundi-pengundi dari Harapan, saya ramal Pas tidak akan jadi ‘king’,” katanya.


Jeniri berkata, pendekatan Pas mengemukakan calon dari pelbagai latar belakang seperti selebriti, pemuda, Muslimat dan dari Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai satu strategi yang baik untuk imej Pas menghadapi PRU14.


Beliau berkata, calon-calon yang diketengahkan Pas kali ini dilihat dapat mengubah sedikit persepsi terhadap Pas yang sebelum ini terkenal sebagai sebuah parti politik yang berlatar belakang agama.


“Namun harus diingat, status selebriti tidak dapat menjamin seseorang calon dapat tambat hati pengundi, ini berdasarkan sejarah PRU13 yang lalu di mana calon selebriti yang dikenali ramai juga tak dapat menang di kawasan yang ditandinginya.


“Banyak lagi faktor lain yang akan jadi penentu kemenangan sesebuah parti dalam PRU14 nanti, tapi faktor status selebriti itu mungkin akan sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan peminat dan pengundi mereka,” katanya.


Mengulas lanjut mengenai tindakan Pas mencalonkan golongan profesional serta akademik, ia disifatkan sebagai satu langkah baik yang dinamik dan relevan dengan tuntutan semasa.


“Tindakan ini akan beri kesan kepada tanggapan pengundi terhadap Pas, calon dari golongan profesional serta akademik dilihat akan dapat bantu dari segi pengurusan kepimpinan Pas.


“Calon dari DHPP juga adalah satu strategi yang baik, menunjukkan Pas kini sudah terbuka dan menolak tanggapan bahawa Pas sebelum ini adalah parti yang tertutup. Ia sedikit sebanyak akan bantu Pas di sesuatu kawasan, bergantung kepada komposisi,” katanya.


Menurutnya, Pas tidak akan berupaya untuk merampas Selangor dari Harapan pada PRU14 kerana gandingan calon dalam Harapan memberi lebih pilihan kepada pengundi berbanding Pas.


“Pas mungkin akan menang di beberapa kerusi, tapi untuk menang majoriti adalah sukar di Selangor,” katanya.


Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Azizuddin Mohd Sani turut berpandangan Pas tidak akan menjadi ‘king’ pada PRU14 sebaliknya lebih kepada ‘spoiler’ di peringkat Persekutuan.


“Saya tidak melihat peluang Pas untuk menjadi ‘king’, kecuali di negeri sebelah Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.


“Pas punya kekuatan tersendiri, tetapi di peringkat persekutuan, saya lihat Pas lebih kepada ‘spoiler’ berbanding ‘king’ kerana ‘mood’ rakyat kini lebih kepada pertembungan antara BN dan Harapan,” katanya.


Azizuddin berkata, tindakan Pas mencalonkan selebriti di beberapa kawasan tidak akan mempengaruhi undi rakyat terhadap Pas.


“Orang kenal mereka ini sebagai ustaz, bukan ahli politik dan status itu tidak akan menjadi penentu kepada kemenangan Pas,” katanya.


Terdahulu, Naib Presiden Pas, Iskandar Samad berkata, Pas berhasrat menjadi ‘king’ di peringkat Persekutuan  dan Selangor bersandar kepada pengumuman awal parti tanding lebih 160 kerusi.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]