Persempadanan semula: BN turut terjejas

in Uncategorized by


IPOH – BN Perak mengakui turut terkesan dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di negeri ini.


Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, persempadanan bukan sahaja berlaku di kawasan yang dimenangi pembangkang sebaliknya turut menjejaskan beberapa kerusi BN.


Menurutnya, bagaimanapun persempadanan semula yang dilakukan SPR dilihat wajar setelah melihat dari segi pertambahan pengundi di dalam sesebuah kawasan Parlimen.


“Pembangkang bermain dengan isu-isu begini merupakan salah satu daripada pendekatan propaganda untuk meletakkan pada rakyat bahawa ini semua merupakan perancangan BN dan mereka pun tahu ada tempat-tempat tertentu yang dilakukan (persempadanan) oleh SPR yang memenangkan mereka.


“SPR mempunyai beberapa pandangan mereka mengenai perkara ini termasuklah dari segi kawasan, keluasan, demografi satu-satu tempat yang mungkin dulunya dalam satu daerah ada dua Parlimen, yang menyebabkan satu Parlimen terlalu kecil bilangannya dan satu lagi Parlimen terlalu tinggi,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu temubual di Kediaman Menteri Besar Perak, di sini, baru-baru ini.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai persempadanan semula kawasan persempadanan semula yang diluluskan Dewan Rakyat.


Zambry berkata, sebelum diadakan persempadanan semula terdapat proses awal yang dinamakan belah bagi dan proses itu juga menyebabkan sebahagian besar pengundi di Parlimen Kuala Kangsar ‘hilang’ pada pilihan raya kecil sebelum ini.


“Tiba-tiba sahaja kita dapat tahu dalam Parlimen dan Dun tiba-tiba bertukar ke tempat lain dan ini berlaku sebagai contoh dalam konteks kita berlaku di Kuala Kangsar waktu pilihanraya kecil Kuala Kangsar kita pun terkejut.


“Kalau nak ikut dari segi complaint daripada BN, kita pun tak suka. Dulu kita menang tu dari kawasan-kawasan yang begitu. Tapi kawasan itu dah hilang,” katanya.


Menurut beliau, persempadanan semula ini dibuat disebabkan jumlah pengundi yang semakin besar.


Jelasnya, pembangkang akan sentiasa tidak berpuas hati terhadap perkara yang tidak menyenangkan mereka tetapi jika berlaku sebaliknya mereka boleh menerima perkara tersebut.


“Sayangnya dalam konteks kita oleh kerana sebarang pertambahan kawasan baharu dalam Parlimen memerlukan majoriti dua pertiga dan itu menyebabkan ia tidak dapat dilakukan.


“Bayangkan saya fikir sudah lebih 15 tahun proses itu tidak berlaku dan pertambahan yang terlalu padat, bilangan pengundi dan penduduk di sesuatu tempat terlalu padat. Proses yang dibuat umpamanya bagi tempat-tempat tertentu perlu dibuat kajian setiap 10 tahun,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]