Portal kejayaan Negeri Sembilan dilancarkan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Bagi melihat perkembangan kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan sepanjang tempoh lima tahun lalu, orang ramai boleh melayari di laman sesawang www.bnns2rakyat.com untuk mendapatkan gambaran lebih jelas segala kejayaan yang telah dibuktikan melalui Aku Janji PRU13.


Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan melalui portal kejayaan itu, rakyat boleh menilai dan melihat sendiri 45 Aku Janji yang dibentangkan melalui manifesto PRU13, telah pun selesai ditunaikan.


Katanya, dengan tema, “Bukti, Bukan Sedar Janji” menjadikan Aku Janji yang dibuat terdahulu telah pun dibuktikan dan dizahirkan dengan sempurna.


“Portal yang dilancarkan itu mengandungi status pencapaian Aku Janji kerajaan Negeri Sembilan bagi tempoh 2013 sehingga 2017.


“Sebanyak 17 inisiatif dan 45 Aku Janji yang meliputi di antaranya aspek kesejahteraan rakyat, rumah mampu milik, keselamatan dan ketenteraman awam, perkhidmatan kesihatan, infrastruktur asas luar bandar, dan kecemerlangan pendidikan dalam agenda pembangunan sosioekonomi.


“Daripada 45 Aku Janji tersebut, hanya satu sahaja Aku Janji iaitu Mewujudkan Perpustakaan Islam dan Galeri Islam, tidak dilaksanakan bagi memberi keutamaan kepada projek yang berfokus kepada kesejahteraan rakyat, malahan itu bukan satu keperluan sebaliknya adalah kemahuan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto BN Negeri Sembilan dan Pelancaran Portal Kejayaan Negeri Sembilan di Royal Chulan Seremban, pagi tadi.


Tambahnya, rakyat Negeri Sembilan diminta melayari portal tersebut bagi menyaksikan bahawa segala AKu Janji yang dibuat pada PRU13 lalu, telah pun berjaya ditunaikan, malah mana-mana pihak tidak boleh pertikaikan lagi berikutan segala janji telah pun dibuktikan.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]