Proses memudahkan semua pihak: Mohamad

in Politik by


SEREMBAN – Persempadanan semula yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru–baru ini, tidak akan menjejaskan mana-mana pihak di negeri ini.


Secara dasarnya, persempadanan semula yang berlaku di Negeri Sembilan hanya melibatkan pertukaran namanya sahaja.


Antara yang terlibat, Parlimen Teluk Kemang, diganti dengan Parlimen Port Dickson, Dun Port Dickson di tukar kepada Dun Sri Tanjung, manakala Dun Senawang digantikan dengan nama Dun Seremban Jaya.


Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, apa yang berlaku di sini hanyalah betulkan semula sempadan nama sahaja, sebab itulah di negeri ini tiada banyak bantahan dilakukan.


Beliau yang juga Menteri Besar berkata, kajian persempadanan semula yang dilakukan itu bukan memberi kelebihan kepada kerajaan (BN), sebaliknya ia hanya akan memudahkan semua pihak.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kajian yang dilakukan SPR ini lebih kepada memperbetulkan persempadanan semula, bukannya memberi kelebihan kepada satu pihak sahaja.


Katanya, di Negeri Sembilan bukan sahaja parti pembangkang membantah, tetapi semua parti termasuk BN dan parti komponen juga membantah persempadanan semula yang dilakukan oleh SPR.


“Di negeri ini semua parti membantah, baik Umno, MCA, dan semua parti pembangkang juga membantah kerana ada kawasan yang kita sendiri tidak puas hati dan perlukan juga bantahan.


“Akhirnya bantahan kita itu didengari dan diteliti semula oleh SPR dan ada bantahan yang dibuat itu diterima pakai kerana kita dapat membuktikan dengan persempadanan itu nanti akan memberi kesulitan kepada orang ramai, dan hal sebegitu diterima, walau bagaimanapun masih ada juga yang diteruskan.


“Apa yang berlaku ini bukannya memberi kelebihan kepada kerajaan, tetapi ia bantu memudahkan kerja semua pihak,” katanya.


Tambahnya, persempadanan semula ini memperlihatkan kawasan yang lebih jelas.


“Misalnya di Parlimen Rembau, saya mencadangkan SPR agar menggunakan jalan raya utama sebagai pembahagian sempadan bagi Parlimen Rembau dan Seremban, dan juga kawasan yang dulunya berada di bawah Dun Paroi, kita keluarkan dan masukkan kepada Dun Senawang, kerana kita melihat kawasan itu lebih dekat dengan Dun Senawang.


“Macam saya selalu sebut, kita perbetulkan semula sempadan yang orang dulu buat sebab waktu itu teruk berliku sana-sini, dari segi (pelaksanaan) pentadbiran, amat susah. Orang yang duduk di situ pun berdepan kesukaran.


“Jadi apa kita buat di Negeri Sembilan, hanya luruskan saja (sempadan). Kalau jalan besar dari Seremban ke Kuala Pilah, di kanan Parlimen Rembau, kiri Parlimen Seremban.


“Maka ada tiga empat PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan lokaliti terpaksa berubah kerana dulu dalam Parlimen Rembau, Dun Paroi termasuk ke Taman Cengal di pendalaman.


“Bayangkan bukan main susah orang di sana nak berurusan dengan wakil rakyat, sedangkan boleh terus jumpa wakil rakyat di sini,” katanya.


Tidak jejas pembangkang


Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP negeri, P Gunasekaran juga Adun Senawang, yang kini dikenali Seremban Jaya, berpendapat persempadanan tidak jejas kawasannya.


Katanya, walau pun hanya sekadar menukar nama, tetapi melalui pelarasan kawasan di Dun itu, memberi kelebihan kepada pihaknya menjelang PRU14 nanti.


Beliau yang merupakan calon Dun Seremban Jaya berkata, sebanyak tiga taman akan berpindah masuk ke tempat mengundi di Dun Seremban Jaya.


“Penduduk di Taman Bidara, Taman Rahang serta Taman Bukit Sri Senawang akan mengundi di kawasan Dun Seremban Jaya, dan Parlimen Rahang pada 9 Mei ini.


“Penambahan pengundi kaum Cina dan India sebanyak 98 peratus, diyakini bantu kita pada PRU ini, dan jika semuanya lancar saya yakin DAP pasti  kekal di Dun Seremban Jaya dan Parlimen Rahang,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]