Rosmah maafkan Nurul Izzah

in Nasional by


SHAH ALAM – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menerima permohonan maaf Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung isu panggilan terhadap beliau.


Perkara itu dimaklumkan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor dalam kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.


Menurut Rizal, Rosmah dengan hati terbuka menerima permohonan maaf Nurul Izzah yang dilaporkan media, semalam.


“Bagi beliau, inilah yang diajar oleh Islam dan adat Melayu, supaya saling hormat menghormati antara satu sama lain.


“Perbezaan fahaman dan pandangan politik tidak boleh mengetepikan adab dan hormat. Yang muda menghormati yang tua, yang tua mengasihi yang muda,” katanya.


Bagaimanapun, kata Rizal, lebih elok sekiranya Nurul Izzah membuat permohonan maaf secara berdepan dengan Rosmah.


“Tidak salah untuk memohon maaf, bersalaman dan berdakapan. Sesuai dengan kelembutan nama Puteri Reformasi yang disandangnya selama ini. Ia lebih manis dan bermakna daripada permohonan maaf di media,” katanya.


Rizal turut menyindir beberapa pemimpin pembangkang lain yang masih belum memohon maaf kepada Rosmah.


“(Datuk Seri) Azmin Ali, Rafizi Ramli dan lain-lain yang kaki maki dan fitnah Datin Seri Rosmah siang malam bila lagi? Moga-moga terbukalah hati mereka untuk berpolitik dengan lebih matang dan beretika,” katanya.


Semalam, Rosmah dalam ucapannya di sebuah majlis menyifatkan Nurul Izzah sebagai seorang yang tidak tahu menghormati orang tua.


Ini kerana, kata Rosmah, Nurul Izzah hanya memanggil beliau dengan nama, selain melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas.


“Dia tak nak panggil saya Datin Seri Rosmah tak apa, panggilah aunty Rosmah ke, mak cik Rosmah ke, ini tak, terus-terus panggil saya Rosmah Mansor,” katanya seperti dilaporkan.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]