Syarikat tak puas hati

in Bisnes by


Kejatuhan harga saham British American Tobacco (Malaysia) Bhd sepadan dengan kemerosotan saiz pasaran tembakau di Malaysia.


Menurut BAT Malaysia, terdapat korelasi antara harga sahamnya dan saiz pasaran perundangan, yang jatuh ke 41.7 peratus pada 2017.


Sebaliknya, saiz pasaran haram meningkat kepada 58.3 peratus pada tahun lepas daripada 52.5 peratus pada 2016.


Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel berkata syarikat itu masih tidak berpuas hati dengan harga sahamnya yang merosot daripada RM40 sesaham pada Disember tahun lalu.


“Sudah tentu, kita masih tidak berpuas hati dengan angka (harga saham), tetapi kami berurusan dengan hampir 60 peratus perdagangan rokok haram di pasaran, ini merupakan isu struktur yang tidak terkawal.


“Walaupun kita melihat penguatkuasaan dan keselamatan diperketatkan, langkah-langkah yang diambil masih belum banyak memberi kesan dan bilangan perdagangan haram masih terus meningkat dan kami menggesa kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mengambil satu usaha yang bersepadu dan serius dalam menangani perkara ini,” katanya pada mesyuarat agung tahunan BAT Malaysia.


Namun, Stoel berkata, ia telah menyaksikan bilangan yang stabil tahun lalu selepas menyelesaikan penyusunan semula perniagaannya dan prestasi yang lebih kukuh dalam pasaran perundangan.


Dalam pada itu katanya, BAT menganggarkan bahawa kerajaan kehilangan antara RM4 bilion hingga RM5 bilion hasil cukai setiap tahun daripada rokok haram.


Menurutnya, anggaran itu berdasarkan pada jumlah rokok haram yang melebihi tiga kali ganda berbanding output tahunan BAT.


“Jumlah BAT adalah kira-kira 200 juta bungkus setiap tahun dan kami membayar cukai sebanyak RM1.7 bilion. Rokok haram berjumlah 625 juta bungkus setahun,” katanya.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]