Tun Mahathir musnahkan usahanya sendiri di Langkawi

in Nasional by


LANGKAWI – Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed menjadi calon pembangkang di Langkawi dalam PRU14 ini hanya akan memusnahkan apa yang dibangunkannya selama menjadi Perdana Menteri dahulu.


Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini mengumpamakan tindakan bekas Perdana Menteri itu seperti cubaan meroboh rumah yang dibina selama 22 tahun hanya kerana orang lain yang menggantikannya ingin memperbaiki lagi keadaan rumah berkenaan.


“Kita ini ada orang datang tolong buat rumah kita ucap terima kasih kerana bantu buat rumah kami. Lepas itu sudah tinggal lama orang lain pula mari (datang), ubah suai pula rumah bagi cantik lagi, berterima kasihlah kepada orang baru yang mencantikkan lagi kawasan kita ini,” katanya.


Berucap di Program Karnival Jualan Sentuhan Rakyat Langkawi yang berlangsung di Kompleks Pekan Rabu di sini, beliau berkata, rakyat di sini tidak perlu mendengar tohmahan yang dilemparkan pembangkang yang tidak akan membawa apa-apa faedah kepada mereka.


“Kita hendak masa depan anak cucu kita lebih senang daripada apa yang kita perolehi hari ini,”  katanya.


Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, sejak pelancaran program Jualan Sentuhan Rakyat ini, Langkawi menjadi daerah yang mencatatkan jualan tertinggi di Kedah.


“Ini menunjukkan rakyat Langkawi sentiasa mahu terlibat dengan program-program yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional,” katanya.


Menurutnya, kementerian juga akan membuat penyelidikan untuk mengenal pasti premis perniagaan bersesuaian bagi penubuhan Kedai Rakyat 1Malaysia baharu (KR1M 2.0) di Langkawi.


Katanya, program-program ini bukannya dilakukan kerana pilihan raya semakin dekat tetapi telah dirancangkan oleh kerajaan lebih satu tahun lepas bagi memastikan rakyat memperolehi manfaat daripadanya.


Beliau berkata, program ini juga adalah salah satu bukti keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memahami denyut nadi rakyat. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]