Berat hati benarkan anak pergi berkelah

in Edisi by


KUANTAN – Bapa kepada mangsa lemas dalam tragedi di Sungai Kampung Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, memberitahu dia sebenarnya berat hati untuk membenarkan anaknya itu berkelah di situ.


Hamidi Yusop, 53, berkata, sepanjang minggu ini, anak kedua daripada empat beradik itu, Mohammad Haziq Hamidi, 19, beberapa kali menghantar pesanan WhatsApp untuk memberitahu mahu berkelah di kawasan itu bersama 15 rakan lain.


Menurutnya, kali terakhir pesanan yang sama dihantar Jumaat lalu yang meminta membenarkan dia pergi ke sungai terbabit serta mahu meminjam Toyota Hilux milik Hamidi untuk tujuan perkelahan tersebut.


“Saya tak bagi dia ambil sebab Hilux saya ada masalah sikit. Jadi, dia maklumkan mahu pergi juga ke sana tapi dengan menaiki kenderaan kawan-kawannya.


“Ini kali pertama dia datang ke situ secara sendirian. Agak berat hati untuk saya benarkannya, tapi apakan daya dia datang juga ke sini.  Saya tak sangka pula begini jadinya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, di sini, hari ini.


Hamidi yang bekerja sebagai mekanik berkata, kali terakhir berjumpa Mohamad Haziq itu ketika anaknya itu menghantar  barang-barang pengajiannya di rumah, Rabu lalu.

Hamidi, Junaidah


Malah, katanya, anaknya itu sempat beramah mesra bersama adik- beradiknya sebelum pulang semula ke rumah sewanya.


Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang perubahan sikap berlaku pada diri anaknya itu sewaktu bertemu dengannya.


“Kami terima suratan takdir dengan hati yang terbuka. Tiada apa yang boleh saya cakap kecuali perlu reda dengan ketentuan ALLAH,” katanya.


[ ARTIKEL BERKAITAN: LELAKI DIKHUATIRI LEMAS ]


Sementara itu, ibu mangsa, Junaidah Zainol, 46, berkata, meskipun pemergian anaknya itu amat dirasainya, namun dia terpaksa pasrah dengan takdir ALLAH.


“Saya kena tabah untuk terima hakikat kejadian ini,” katanya ringkas.


Semalam, sekumpulan penuntut dari Kolej Vokasional Kuantan datang ke lokasi perkelahan itu untuk mandi sempena cuti hujung minggu.


Kegembiraan sekumpulan pelajar itu bagaimanapun bertukar tragedi apabila Mohammad Haziq dan rakannya,  Mohamad Shahrel Izwan Mat Alias, 19, dibawa arus deras ketika sedang mandi di sungai terbabit, kira-kira 11.20 pagi.


Mohamad Shahrel bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]