Buaya sesat di Pulau Sibu

in Edisi by


MERSING – Seekor buaya betina dianggarkan seberat 10 kilogram ditemui di perairan Pulau Sibu kira-kira jam 8.30 pagi semalam.


Penduduk Kampung Duku, Rozi Sulong, 50, berkata, dia dimaklumkan penemuan buaya yang masih belum dewasa itu oleh adik iparnya, Kamaruzaman Alimat, 45.


“Saya baru balik menjala pagi dalam jam 8.30 pagi (semalam). Adik ipar beritahu dia jumpa buaya dekat Hujung Busung, Pulau Sibu.


“Dia tangkap dengan campak tali ke bahagian badan dan heret buaya ke kawasan pantai,” katanya ketika ditemui berdekatan Jeti Pulau Sibu, semalam.


Rozi berkata, mereka terpaksa menangkap buaya sepanjang 192 sentimeter itu kerana bimbang ia membahayakan keselamatan penduduk.


“Kita pun tak tahu nak buat apa dengan buaya ini sebab nak lepaskan di sini pun bahaya.


“Jadi kami hubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.


Menurut Rozi, sebagai orang laut, dia sendiri sering terjumpa buaya di perairan ketika keluar menjala.


Difahamkan buaya tersebut diserahkan kepada pihak Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut, semalam.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]