Cukuplah merajuk dua hari: Shahrir

in Edisi by


JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad menasihatkan mereka yang tidak tercalon dalam PRU14 supaya mencari ketenangan diri.


Menurutnya, ini kerana, perkara paling utama adalah memastikan kemenangan berpihak kepada BN dapat dikekalkan.


“Kalau dalam Parlimen Johor Bahru, saya bagi dua hari kepada mereka (yang tidak terpilih bertanding) merajuk. Tetapi, selepas dua hari, mereka kena buka bilik gerakan.


“Tidak guna berterusan merajuk. Perlu bagi ahli BN adalah disiplin kerana parti ini sebuah parti yang matang dan lama di Malaysia serta harus dipatuhi,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai unsur sabotaj dalam parti berikutan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka akan mengumumkan nama calon BN negeri ini yang akan bertanding pada PRU14, esok.


Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Taska Muafakat Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Penyampaian Baucar Subsidi Yuran Taska bagi Golongan B40 Johor Bahru di Desa Dato’ Hajah Hasnah, di sini, hari ini.


Shahrir yang juga Ketua Umno Bahagian Johor Bahru berkata, tiada seorang pun calon yang bertanding dalam PRU adalah sempurna.


“Dalam PRU, tidak ada calon yang sempurna kerana mereka pasti ada kelemahan. Cari yang terbaik daripada yang telah dicadangkan.


“Di Johor Bahru, saya bertanggungjawab untuk memastikan tiga calon BN yang bertanding di peringkat Parlimen dan dua Dun berjaya dalam PRU ini,” katanya.


Ditanya soal dua pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Ulu Ayer Molek dan Kebun Teh yang melibatkan kira-kira 2,000 pengundi masuk dalam Parlimen Johor Bahru yang mana sebelum ini di bawah Parlimen Pulai selepas proses persempadanan semula, beliau berkata, itu tidak menjadi masalah kepadanya.


“Perkara ini tidak mengubah profil pengundian di Johor Bahru. Ini kerana Johor Bahru masih terdiri daripada lapisan masyarakat yang pelbagai serta mempunyai persekitaran komuniti yang sihat,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]