'Isu dedah cek RM25,000 sudah tersasar'

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Pendedahan Harapan Parit Buntar terdapat individu Pas menerima cek kerajaan negeri daripada bakal calon BN Parlimen itu, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan untuk pembangunan sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di sini sudah disalah erti pelbagai pihak.


Calon Harapan Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kesemua pihak memberi maklum balas terhadap pendedahannya tempoh hari sebenarnya tersasar daripada isu sebenar.


Menurutnya, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan menghalang mana-mana pihak termasuk kerajaan memerintah untuk menyumbang kepada pembangunan Pasti, lebih-lebih lagi ianya adalah organisasi prasekolah yang sinonim dengan masyarakat setempat.


“Cuma banyak pihak membuat rumusan songsang mengatakan kononnya saya tidak menyokong pembangunan Pasti. Saya yakin mereka tidak membaca sepenuhnya kenyataan saya.


“Isunya cek kerajaan negeri itu dikeluarkan atas nama seorang individu ahli Pas bukan kepada jawatankuasa pembangunan Pasti itu dan disahkan sendiri oleh Abdul Puhat.


“Jika Pasti adalah milik masyarakat dan dengan bangunan tersergam indah di Kampung Kedah, saya hairan mengapa tiada akaun khas jawatankuasa pembangunan diwujudkan untuk disalurkan sumbangan agar ketelusan keluar masuk kewangan dapat dipantau?,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.


Mujahid berkata, individu Pas berkenaan pula disahkan menerima sumbangan daripada seorang Setiausaha Kerajaan Negeri atas cek Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri(SSI) yang sepatutnya perlu meminta akaun khas jawatankuasa pembangunan Pasti.


Menurutnya, tindakan itu bukankah boleh dianggap melanggar standard of procedure (SOP) penyaluran dana kerajaan kerana hanya akaun di bawah pertubuhan atau NGO sahaja yang sepatutnya dibenarkan.


“Apatah lagi Abdul Puhat dikatakan bakal calon Parlimen Parit Buntar dan berita pencalonannya sebenarnya sudah diperkatakan sewaktu tarikh cek itu dikeluarkan lagi.


“Bukankah ini bertujuan politik? Saya hairan pemimpin Pas Parit Buntar dalam kenyataan balasnya kepada saya mempertahankan pula Abdul Puhat sedangkan tindakan Abdul Puhat boleh didakwa melanggar etika dan moral pentadbir awam,” katanya.


Mujahid turut mempersoalkan tindakan pemimpin Pas Parit Buntar berdiam diri kepada individu Pas menerima cek sedangkan ianya satu kesalahan terhadap etika mana-mana entiti sosial menerima cek peribadi dari akaun rasmi kerajaan negeri.


“Mungkinkah ini bentuk ‘taawun’ individu Pas tersebut dengan bakal calon BN yang masih menggunakan nama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ke sana ke sini berkempen untuk BN?


“Mungkinkah ini Gagasan Sejahtera yang hendak ditonjolkan oleh Pas walaupun ahlinya menyalahi etika menerima sumbangan untuk Pasti atas cek individu?” katanya.


Mujahid turut menegaskan tujuan pendedahan cek sumbangan kerajaan negeri kepada individu Pas atas nama peribadi bukan untuk menentang sumbangan pembangunan Pasti.


“Saya hanya mendedahkan kemungkinan Abdul Puhat menyalahgunakan kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri untuk tujuan politik dan individu Pas yang sanggup menerima cek RM 25,000 atas namanya sendiri,”katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]