Keahlian 16 ahli Umno akan terlucut secara automatik

in Politik by


JOHOR BAHRU –¬† Seramai 16 ahli Umno yang memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin bagi mencabar kesahihan Umno kerana menangguhkan pemilihan parti itu sepatutnya dilucutkan keahliannya secara automatik.


Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, ini kerana, perkara itu sudah tertakluk di bawah peruntukkan perlembagaan yang dibuat ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden Umno sebelum ini.


“Yang buat cerita itu adalah kononnya ahli Umno. Tetapi, dari segi perlembagaan Umno semasa Tun Dr Mahathir menjadi Presiden Umno, sesiapa ahli Umno yang bawa parti kepada mahkamah, maka terlucut haknya.


“Jadi, perkara ini sememangnya ada dalam perlembagaan parti sendiri dan perlembagaan parti itu semasa Tun Dr Mahathir mewujudkan Umno baharu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kumpulan 16 anggota Umno itu diwakili peguam Mohd Haniff Khatri Abdullak yang turut bertindak bagi pihak bekas presiden Umno dan Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir.


Menurut Fasal 9.3 perlembagaan Umno, Majlis Tertinggi hendaklah dipilih setiap tiga tahun dengan lanjutan tambahan 18 bulan dibenarkan di bawah Fasal 10.16.


Pada Jun 2015, Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno mengumumkan penangguhan pemilihan parti itu bagi memberi laluan kepada persiapan menghadapi PRU14.


Sebelum ini, tokoh veteran Umno, Tan Sri Rais Yatim berkata, parti itu perlu mengadakan pemilihan selewat-lewatnya 19 April lalu.


Terdahulu, Shahrir yang juga penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru ditemui ketika hadir Fun Run sempena Hari Kesihatan Dunia di Taman Suria, di sini, hari ini.


Ujar Shahrir lagi, sepatutnya perkara ini tidak menjadi masalah dan sekiranya timbul masalah, ia perlu diselesaikan hanya dalam parti sahaja.


“Orang yang bawa kes ini ke mahkamahpun pasti sudah tahu. Mereka¬† boleh baca dan patut faham perlembagaan parti.


“Tiada masalahpun, ini hanya soal disiplin dalam parti. Siapa yang dah jadi ahli parti tentu sudah tahu perkara ini sudah menjadi peruntukkan dalam perlembagaan. Cuma, pihak tertentu sengaja timbulkan isu ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]