Malaysia putuskan tidak hos CHOGM 2020

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Malaysia memutuskan untuk tidak menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2020 tetapi terbuka untuk menghoskan acara itu pada masa akan datang, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.


Beliau berkata, disebabkan permintaan yang dibuat oleh beberapa negara anggota Komanwel, penganjuran CHOGM 2020 memang dipertimbangkan oleh Malaysia.


“Bagaimanapun, pada akhirnya, Malaysia telah membuat keputusan untuk tidak menjadi hos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Anifah berkata, Malaysia sememangnya akan menjadi hos Sidang Kemuncak APEC dan mesyuarat berkaitan pada tahun itu dan di samping itu, terdapat negara anggota Komanwel lain yang menyatakan minat untuk menjadi tuan rumah CHOGM 2020.


“Demi hubungan baik kita dengan negara-negara berkenaan, Malaysia telah memilih untuk tidak menjadi hos dan sebaliknya memutuskan untuk menganjurkan CHOGM pada masa akan datang,” katanya.


Kenyataan itu sekali gus mematahkan artikel Sarawak Report yang menurut beliau cuba mengambil kesempatan daripada ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada mesyuarat CHOGM di London.


“Biar saya menekankan satu perkara yang jelas kepada semua – tiada pemimpin politik yang waras dalam masyarakat demokratik yang akan meninggalkan negara untuk menghadiri sebarang mesyuarat di luar negara kurang tiga minggu sebelum pilihan raya umum diadakan,” katanya.


Beliau berkata, artikel itu bertajuk ‘UK calls on Malaysia to accept election monitoring and condemns fake news and boundary law’ menampakkan tanda-tanda terdesak disebabkan sokongan yang semakin diterima oleh kerajaan dan keadaan pembangkang yang kucar-kacir.


Mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya, Anifah menarik perhatian bahawa kali terakhir persempadanan semula dijalankan ialah 15 tahun lalu.


“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan untuk mengkaji semula dan mengesyorkan pindaan, setiap lapan hingga 10 tahun, untuk  menjamin keseimbangan populasi antara kawasan pilihan raya,” katanya.


Beliau seterusnya berkata, Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar disokong oleh 123 anggota Parlimen termasuk 10 dari pembangkang sementara 64 undi menentang.


“Ini menunjukkan bahawa lebih ramai wakil rakyat yang dipilih berpegang kepada pentingnya hak kebebasan bersuara, ia harus ada batasan terhadap hak ini, dan bahawa ia tidak boleh disalah guna untuk menyebarkan berita palsu atau berita yang tidak disahkan memandangkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat penyebarannya,” katanya.


Anifah juga menyangkal dakwaan berhubung pemerhati luar bagi memantau pilihan raya sambil berkata, SPR telah menjemput pemerhati dari 14 negara serta Malaysian Commonwealth Studies Centre of Trinity College, Cambridge yang berpusat di United Kingdom.


Bagaimanapun beliau menyatakan perkara ini: “Demokrasi Malaysia akan dipantau oleh pengundi rakyat Malaysia dan pemilih warga Malaysia. Untuk menyatakan bahawa orang lain mempunyai hak, keupayaan dan kecekapan adalah satu penghinaan kepada setiap pengundi Malaysia.”


Anifah berkata, pengundi Malaysia terus menarik perhatiannya dengan mesej jelas tentang apa yang mereka mahu untuk diri mereka sendiri dan anak mereka, iaitu ciri-ciri kesopanan dan kebijaksanaan. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]