Mayat warga emas ditemui reput

in Uncategorized by


SERI MANJUNG – Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak 14 hari lalu akhirnya ditemui meninggal dunia apabila mayatnya dijumpai  bersebelahan kuari Jalan Teluk Rubiah lebih kurang 1.5 KM daripada jarak motosikal mangsa.


Mayat mangsa  Ho Tong Chim, 89, ditemui oleh orang awam yang kemudiannya menghubungi pihak Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Seri Manjung.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Shuib Idris berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu pada jam 11.58 pagi dan segera menggerakkan lapan anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan ll Abdul Adzhar Ismail ke lokasi kejadian.


Menurutnya, apabila tiba di lokasi, pihaknya segera ke tempat yang dimaklumkan oleh orang awam dan membawa mangsa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis.


“Mayat mangsa ditemui lebih kurang 1.5 KM daripada jarak motosikal mangsa dan sebenarnya lokasi itu kita sudah lakukan pencarian sebanyak dua kali sebelum ini.


“Operasi ini kemudian ditamatkan pada jam 1.51 petang setelah mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


Katanya, operasi mencari mangsa telah dilakukan selama tujuh hari setelah laporan diterima daripada ahli keluarga.


“Kita telah menggerakkan operasi mencari selama tujuh hari dan ia dihentikan selama dua hari kerana tidak ada petunjuk baru.


“Namun begitu, selepas dua hari dihentikan, operasi dibuka semula atas permintaan keluarga mangsa sehinggalah mayat telah ditemui pada hari ini,” katanya.


Mangsa yang berasal dari Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK) dikatakan keluar menjerat binatang di kawasan kuari di Teluk Rubiah pada petang Ahad 8 April lalu dan tidak pulang ke rumah hingga larut malam.


Anak mangsa yang khuatir dengan kehilangan ayah mereka,telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]