Misteri tiga das tembakan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan dibelenggu tanda tanya apabila kenderaannya menjadi mangsa tiga das tembakan ketika berhenti di lampu isyarat, sekitar jam 6.30 petang semalam.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, insiden itu berlaku di jalan besar berhadapan bangunan Rasah Prima menghala ke bandar Seremban.


Menurut beliau, lelaki terbabit yang berusia 46 tahun dan menjalankan perniagaan mengimport lori, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Masa itu, dia sedang memandu sendirian. Tiba-tiba, dia terdengar bunyi letupan beberapa kali pada bahagian belakang keretanya.


“Kemudian, seorang penunggang motosikal lengkap berhelmet dan berjaket hitam telah berhenti di sebelah kiri keretanya.


“Dia nampak lelaki itu memegang satu objek menyerupai sepucuk pistol. Seterusnya lelaki berkenaan terus beredar dalam keadaan jalan sesak dan hujan lebat,” katanya.


Menurut Hock Poh, mangsa segera berhenti di tepi jalan untuk memeriksa kenderaannya.


“Didapati ada tiga kesan tembakan di sebelah kiri pintu belakang dan bampar keretanya.


“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 sekitar jam 7.19 petang,” katanya.


Justeru katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan.


“Boleh hubungi Inspektor Nor Suhaila Abdullah di talian 06-6033222 atau salurkannya di balai polis berhampiran.


“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]