Perancangan ekonomi lebih pesat

in Politik by


IPOH – Manifesto BN Perak bagi PRU14 merupakan kesinambungan kepada Dasar Amanjaya yang dilaksanakan sepanjang sembilan tahun pentadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di negeri ini.


Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sepanjang tempoh itu, pertumbuhan ekonomi negeri sangat baik malah mengatasi pertumbuhan Malaysia setiap tahun kecuali tahun 2014.


Katanya,  usaha dilakukan kerajaan BN akan diteruskan dari segi pembangunan ekonomi, mengurangkan kadar kemiskinan, mengurangkan kos sara hidup dan sebagainya.


“Tekad yang pertama, ekonomi dan pelaburan. Ia baik bukan sahaja untuk golongan peniaga, untuk orang bekerja, tetapi untuk seluruh negeri dan yang paling penting untuk orang muda dan generasi masa depan.


“Manifesto ini juga merupakan sambungan kepada akujanji atau manifesto BN Malaysia antara lain termasuklah kewujudan Lapangan Terbang Antarabangsa di Seri Iskandar,” katanya.


Mohammad Zahir berkata, pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu nanti akan menjadi pelengkap apabila siapnya nanti Lebuhraya Pantai Barat (WCE) dan paip gas sepanjang 120 km daripada Manjung ke Ipoh.


Katanya, kesemua kemudahan itu sekali gus akan mewujudkan ekonomi lebih pesat termasuk di Wilayah Perak Selatan meliputi Tanjung Malim ke Bagan Datuk.


Mengenai zon perdagangan bebas, Perak akan mendapat banyak manfaat seperti insentif cukai daripada kerajaan pusat dan sebagainya dengan status itu.


“Bukan sahaja industri baru akan masuk tetapi juga capital intensif industri kerana adanya lapangan terbang itu, laluan keluar eksport terbuka luas,” katanya.


Menurutnya, ia sekali gus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat dalam bidang industri tahap tinggi sekali gus memperoleh pendapatan tinggi.


Menerusi manifesto tersebut, tumpuan atau tekad pertama adalah mengukuhkan ekonomi negeri dan meningkatkan pelaburan.


Antara inisiatif lain dikemukakan termasuk ekonomi mengikut kluster di semua daerah, menjadikan Perak sebagai satu pusat mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), lembah makanan dan merancakkan pembangunan pekan kecil.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]