Sham tidak dicalonkan semula?

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Desas-desus Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat tidak dipilih semula sebagai calon PRU14 kini bertiup kencang dalam kalangan penduduk Parlimen Bagan Serai.


Terbaharu, Sham dalam satu jawapan ringkas melalui aplikasi sosial WhatsApp memaklumkan kepada grup pengamal media tempatan bahawa beliau gembira tidak dicalonkan semula pada PRU14.


Dalam kenyataan ringkas, Sham yang penyandang Dun Alor Pongsu mengeluarkan kenyataan beliau ‘Happy…tak dicalunkan semula…yehh boleh rehat’ dan tindakan itu mengejutkan semua pihak.


Bagaimanapun, usaha Sinar Harian  bagi mendapatkan kepastian terhadap kenyataan itu tidak berjaya apabila Sham gagal dihubungi.


Desas-desus Sham tidak terpilih sebagai calon sudah lama diperkatakan sejak tiga minggu lalu apabila terdapat beberapa kepimpinan sayap parti mengeluarkan kenyataan terbuka melalui laman Facebook mendesak pemimpin veteran itu dikekalkan pada PRU14.


Malahan, Sham sewaktu ditemuramah media sebelum ini turut menyuarakan hasrat mengundur diri bagi memberi ruang kepada muka baharu.


Seorang pemimpin akar umbi Umno Bahagian Bagan Serai enggan dikenali berkata, sekiranya Sham benar-benar tidak dipilih semula sebagai calon PRU14, ianya merupakan satu kerugian besar dan tamparan hebat kepada peluang BN bagi mempertahankan kerusi Dun Alor Pongsu.


Menurutnya, pada pandangan mata ahli akar umbi, Sham dianggap sebagai calon winnable candidate’ dan sentiasa turun padang bagi menyelami permasalahan rakyat sepanjang masa.


“Saya bimbang jika nama beliau (Sham) digugurkan, peluang BN untuk mempertahankan Dun Alor Pongsu agak terjejas, selain pengguguran nama Sham sebagai calon sudah pasti melemahkan moral jentera pilihan raya BN.


“Meskipun Umno bahagian memiliki barisan pemimpin pelapis berpotensi, sumbangan Sham dalam mengukuhkan jentera parti masih ditagih dan saya berharap Badan Perhubungan Umno Perak dapat mengekalkannya sebagai calon demi kepentingan BN kelak,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.


Difahamkan, BN Perak diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bakal mengadakan pengumuman calon BN Perak bagi kesemua kerusi Parlimen dan Dun di kediaman rasmi Menteri Besar Perak pada 24 April.


Meskipun Sham dikatakan tidak tercalon pada PRU14, namanya masih dianggap pilihan utama akar umbi parti untuk mempertahankan kerusi Dun Alor Pongsu bagi penggal keempat.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]