Yusmadi sedia jadi calon

in Edisi by


BALIK PULAU – Kekuatan Balik Pulau bukan terletak pada parti politik sebaliknya masyarakatnya yang masih mengekalkan cara hidup dengan menjaga lingkungan dan adab menghormati antara satu sama lain yang amat kuat.


Bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff berkata, sebagai anak jati Balik Pulau, beliau amat menitikberatkan muafakat yang masih terpelihara di samping isu semasa antaranya perumahan, pembangunan dan pendidikan.


Menurutnya, pemimpin yang baik bukan sekadar membangunkan infrastruktur sebaliknya membangunkan warga merupakan perkara terpenting.


“Jangan terlalu ghairah membangunkan infrastruktur sampai kita lupa sebenarnya membangunkan warga itu lebih penting. Jadi jika tanya apa yang saya nak buat, saya menghormati apa pemimpin terdahulu buat, baik BN atau Umno.


“Mereka ada jasa tersendiri, tetapi dengan cabaran sekarang yang sangat hebat, saya rasa saya sanggup ambil tanggungjawab itu bagi pihak mereka.  Bagi baton itu kepada saya, dan saya akan menjalankannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya tadi.


Tambah pemimpin PKR itu, beliau bukan mahu bermusuh dengan sesiapa namun mahukan persaingan yang membawa kebaikan.


“Bagi saya baton, saya pula nak ‘run’. Sebab saya rasa mereka dah buat kerja mereka, saya bukan nak berlawan, bermusuh dengan mereka. Bagi saya musuh boleh dihabiskan, tapi lawan politik berbeza. Kita mahu berlumba-lumba untuk buat kebaikan, bukan berlumba untuk menghabiskan lawan.


“Bagi saya, PRU bukan perlawanan dengan musuh, tetapi politik adalah persaingan gagasan, idea utk kepentingan rakyat, bukan diri sendiri. Seseorang itu perlu disenangi rakyat dan bukan semata-mata dipilih oleh parti, dan kemenangan yang tiada penipuan dan diangkat oleh rakyat,” katanya.


Yusmadi yang juga seorang peguam berkata, Balik Pulau memerlukan pemimpin yang boleh menjadi suara mereka dan mampu menjadi inspirasi.


“Untuk Balik Pulau, orang yang berparti hanya mewakili 10 peratus daripada pengundi berdaftar dan populasinya yang luas. Oleh itu, bagi saya, seorang pemimpin itu dia perlu mampu memimpin partinya dan rakyat keseluruhan yang tidak berparti,


“Sebab itu dia mesti mampu jadi inspirasi rakyat Balik Pulau dan menjadi suara mereka. Misi saya adalah untuk mengangkat muafakat Balik Pulau. Ia bukan perkara baru, ia adalah formula masyarakat yang diangkat dan telah dilupakan tetapi sangat berkesan,” katanya.


Ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam PRU14 ini, Yusmadi berkata, jika pucuk pimpinan parti merestuinya, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.


“Saya selalu ditanya Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang Balik Pulau. Setiap kali saya berjumpa dengannya, dia akan tanya, Balik Pulau macam mana. Dengan keadaannya seperti itu, dia masih peka dengan Balik Pulau dan disebabkan itu, saya terpanggil sebab saya rasa beliau mahu menang di Balik Pulau.


“Jadi, saya rasa kali ini saya bertanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi Anwar dan orang Balik Pulau tercapai. Jika ditawarkan dan dapat restu pimpinan parti, saya sanggup ambil tawaran sebab saya pernah menang dan saya yakin dengan orang Balik Pulau,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]