4 lelaki rembat barang kemas

in Edisi by


IPOH – Empat lelaki dipercayai memecah masuk sebuah kedai emas sebelum mengambil beberapa barang kemas di dalam premis tersebut di Jalan Pasir Puteh, di sini, awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.23 pagi selepas pemilik kedai menerima panggilan daripada rakan kongsinya memberitahu kedai dipecah masuk.


Katanya, setelah sampai di kilang bersama anggota polis mangsa mendapati bahagian siling dan bumbung bahagian belakang dipecahkan.


“Berdasarkan pemeriksaan, beberapa barang milik pengadu dan setiausaha pengadu turut hilang termasuk barangan kemas dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM19,000.


“Antara dilaporkan hilang adalah wang tunai RM5,000 dan RM246.50 yang disimpan dalam peti simpanan di kedai tersebut. Turut hilang, tiga utas gelang tangan seberat 47.0 gram, tiga utas rantai leher (25.35 gram), tiga biji loket (7.0 gram), dua bentuk cincin (8.0 gram) dan sepasang anting-anting seberat 4.05 gram,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.


Mohd Ali berkata, berdasarkan siasatan awal polis, suspek masuk melalui bumbung di belakang kedai berkenaan dan memecahkan siling sebelum memasuki ruang pejabat di tingkat bawah.


Katanya, pihak polis sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di kedai berkenaan untuk tindakan lanjut.


“Kita telah melihat rakaman CCTV dan mendapati ada empat individu bertopeng dipercayai masuk ke dalam premis tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]