Abu Bakar tiada masalah berdepan lawan

in Edisi by


BANDARAYA MELAKA – Penyandang Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah menjelaskan, dirinya tidak akan berdepan masalah dalam merebut kerusi Dun pada PRU14.


“Siapa sahaja lawan, saya tidak kisah sebab saya telah bekerja sejak lima tahun lepas.


“Berbekalkan apa yang telah saya lakukan di Paya Rumput selama ini, saya ingat saya tidak mempunyai masalah untuk berdepan mana-mana calon.


“Malahan, saya tahu kenapa saya diletakkan di sini disebabkan untuk membendung kemaraan pihak lawan yang berhasrat mahu bertapak di situ,” jelasnya kepada media apabila dicalonkan mewakili BN di kerusi Dun Paya Rumput.


Bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu berkata demikian, selepas majlis pengumuman senarai calon BN PRU14 bagi negeri Melaka oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron di Dewan Seri Bendahara Ayer Keroh di sini, semalam.


Ketika ditanya mengenai perpindahannya dari kerusi Parlimen ke kerusi Dun, beliau menjelaskan kerjaya sebagai seorang ahli politik tiada beza walau di mana individu itu diletakkan.


“Cuma di Parlimen, saya kena jaga kawasan lebih besar tetapi pada masa sama, saya adalah Timbalan Ketua Bahagian Umno Tangga Batu, jadi maknanya saya perlu teruskan tugas menyelesaikan masalah rakyat di kawasan ini.


“Mengenai pencalonan pada PRU14, saya rasa gembira dan bersyukur kerana masih lagi dicalonkan,” katanya.


Pada PRU14, Abu Bakar akan berdepan calon gabungan Pakatan Harapan, yang juga bekas pemimpin Umno dan kini Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen serta calon dari Pas, Rafie Ahmad.


Ketika PRU13, kawasan tersebut dikuasai BN menerusi Datuk Sazali Muhd Din dengan majoriti 1,270 undi.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]