Bekalan air terputus. Apa pelan tindakan peniaga dobi?

in Bisnes by


Persoalan:


Seorang pemilik kedai dobi mendapat makluman di kawasan premis perniagaannya akan mengalami gangguan bekalan air selama seminggu.


Keadaan tersebut memberi kesan kepada pemilik kedai dobi kerana bimbang menjejaskan operasi perkhidmatan ditawarkan.


Persoalannya, apakah rancangan penerusan perniagaan yang perlu dilakukan sebagai rancangan untuk mengurangkan kesan gangguan air yang berlaku terhadap perniagaan berkenaan.


Jawapan:


Bagi setiap perniagaan ada proses kritikal yang mana jika proses itu gagal atau terhenti, tidak ada produk atau perkhidmatan yang boleh dibekalkan kepada pelanggan.


Oleh itu, adalah penting bagi para usahawan mengenal pasti mana-mana proses kritikal di dalam perniagaan mereka.


Sama seperti perniagaan membasuh kereta, bekalan air merupakan kunci kepada perniagaan dobi.


Justeru, faktor ini kena diambil kira sebelum lokasi perniagaan ditetapkan di samping mengambil kira bilangan pelanggan yang ada di lokasi tersebut.


Adalah menjadi satu langkah yang logik jika tempat simpanan air tambahan diadakan cukup untuk beberapa hari operasi.


Namun, masalahnya adalah ia melibatkan ruang, alatan dan kos.


Jika keputusan bekalan air hanya berlaku sesekali dalam setahun, ini mungkin satu risiko yang boleh ditelan, tak perlu adakan apa-apa persiapan.


Tetapi jika bekalan air sentiasa terputus, satu lagi cara ialah dengan mengambil bekalan air daripada tempat lain.


Aturan ini kena dibuat sebelum masalah berlaku. Biasanya bila tiada air, permintaan pun meningkat kerana dobi adalah jalan keluar bagi pelanggan yang perlu membasuh pakaian.


Jika kos tahunannya tinggi, kena ambil kira bayaran yang dikenakan kepada pelanggan.


Namun, ini kena ambil kira persaingan di lokasi tersebut. Jika gangguan air semakin kerap berlaku, mungkin itu bukan lokasi yang sesuai bagi perniagaan dobi.


Kena kaji semula sama ada perlu berpindah ke lokasi yang lebih terjamin bekalan airnya.


*** Penulis: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, pengasas Inovastra Capital Sdn Bhd


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]