Beli harumanis hanya daripada pengedar sah

in Edisi Utara by


KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati orang ramai supaya hanya membeli harumanis daripada pengedar dalam talian yang sah untuk mengelakkan penipuan.


Baginda bertitah ini kerana, pembeli dalam talian sering terdedah kepada risiko menerima buah tidak berkualiti atau mungkin dicuri.


“Jangan beli melalui iklan-iklan yang hanya menjual harumanis tetapi tidak dapat dipastikan dari mana sumber buah diperoleh,” titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan hormat Anggota Dewan Perundangan Nasional Thailand, Datuk Anusart Suwanmongkol di sini, tadi.


Baginda bertitah, kemuncak musim harumanis Perlis tahun ini dijangka pada Ramadan dan orang ramai boleh mendapatkannya di promosi anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh negara.


Selain itu, buah ikon negeri ini juga dijual di Pejabat Pertanian negeri atau jualan secara langsung di Pusat Pertanian Bukit Bintang 1, Sungai Batu Pahat dekat sini.


Baginda bertitah, Harumanis juga boleh dibeli terus daripada pekebun yang mempunyai sijil myGAP atau kebun yang dijamin kualiti buahnya. – Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]