Berjuang menangkan parti azam calon baharu BN

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Lama atau baharu bukanlah suatu ukuran dalam parti, yang penting rakyat perlu bijak memilih wakil yang akan memastikan mereka mendapat pembelaan, kata Naib Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Datuk Yahya Ja’afar.


Yahya, 54, antara muka baharu yang diumumkan BN Johor untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dun di negeri ini.


Ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengumuman Calon-Calon BN bagi PRU14 di Ibu Pejabat Badan Perhubungan Umno Johor, di sini hari ini, beliau berkata, Dun Larkin yang bakal ditandinginya merupakan kerusi tradisi parti keramat itu dan perlu dipertahankan.


“Tidak ada yang mustahil, maka kami wakil rakyat yang telah berikrar sumpah setia kepada parti dan menabur jasa kepada rakyat akan sentiasa meneruskan janji kami menerusi manifesto yang telah dibentangkan,” katanya.


Terdahulu, pengumuman calon-calon BN dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Besar dan juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu.


Seorang lagi muka baharu yang bakal bertanding iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Onn Hafiz Ghazi mula bergiat aktif dalam politik sejak 1994.


Beliau mahu menumpukan aspek pembangunan infrastruktur dan modal insan di kawasan Dun Layang-Layang.


“Peranan sebagai setiausaha politik menjadi pencetus kepada saya untuk meneruskan kecemerlangan perkhidmatan di dalam BN,” katanya yang merupakan pemegang Ijazah Perakaunan dari sebuah universiti di United Kingdom.


Anak Jati Skudai pula, Datuk S Kannan, 54, berazam mahu merampas semula kerusi Dun Skudai daripada pembangkang yang didakwanya selama ini hanya mampu menabur janji manis kepada rakyat semata-mata.


“Walaupun BN tewas pada PRU13, namun Kerajaan Pusat dan negeri sentiasa membantu terutama aspek pembangunan infrastruktur di sekolah dengan membina dewan dan kantin baharu di beberapa sekolah,” katanya yang juga Ketua Bahagian MIC Gelang Patah dan Timbalan Pengerusi MIC Johor.


Seorang lagi muka baharu, Soh Lip Yan, 51, berazam untuk menyelami setiap permasalahan rakyat bagi memenuhi aspirasi mereka yang selama ini di bawah teraju Pas.


“Soal agama dan bangsa tidak menjadi masalah untuk seseorang wakil rakyat merasai nadi denyut rakyat di kawasan masing-masing. Apa yang penting, kita kena tahu resipi serta mempunyai daya tarikan selain keikhlasan dan kejujuran dalam bekerja,” kata beliau yang juga Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat.


Lip Yan yang bergiat aktif dalam politik sejak 20 tahun lalu bakal bertanding di Dun Parit Yaani. – Bernama


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]