'Bila gaduh,saya suruh dia cari wanita lain yang lebih baik'

in Hiburan by
Dynas dan suaminya Shazrik

‘Bila gaduh,saya suruh dia cari wanita lain yang lebih baik’


PELAKON dan pengacara Dynas Mokhtar menyifatkan dirinya bertuah apabila ditemukan dengan suaminya Shazrik yang disifatkan sebagai lelaki istimewa yang begitu memahami dirinya, selain sentiasa ada pada waktu susah dan senang.


“Saya akui kegagalan terdahulu memang memberi kesan dalam kehidupan dan membuatkan saya sentiasa berhati-hati untuk merancang kehidupan baharu selepas itu.


“Namun saya tidak boleh nafikan yang Shazrik adalah orang yang boleh memberi kegembiraan, yang sentiasa buat rasa selesa dan sentiasa tahu bagaimana mahu uruskan emosi saya.


“Kadang-kadang bila bergaduh, saya akan suruh dia cari wanita lain yang lebih baik, tetapi dia seorang yang sangat cool dan sentiasa meyakinkan saya agar beri peluang kepadanya dan juga diri saya sendiri untuk membina masa depan kami. Selebihnya kami serahkan kepada ketentuan takdir,” kongsinya jujur.


Sementara itu, Shazrik menyifatkan Dynas sebagai seorang yang sentiasa menjadi dirinya sendiri dan sangat penyayang, baik sebagai seorang kawan mahupun kekasih.


“Mungkin kerana sudah berkawan lama, saya perasan banyak benda-benda kecil tentang dia yang mungkin orang lain tak nampak.


“Dia seorang yang sangat penyayang dan mengambil berat pasal orang lain. Bukan hanya tentang saya, tetapi juga tentang ibu bapa dan keluarga saya,” katanya.


Menyentuh tentang bulan madu, kata Dynas, dia buat masa ini dan suami belum memutuskan destinasi pilihan mereka, namun merancang untuk bercuti pada penghujung tahun ini.


“Bulan madu tu, nanti-nantilah. Buat masa ini kami ingin luangkan masa dengan anak-anak dulu.


“Insya-ALLAH kami akan bawak anak-anak balik kampung suami di Terengganu dan bercuti di Pulau Redang untuk beberapa hari.


“Tentang perancangan anak kami berdua pula, saya hanya serahkan pada rezeki yang ALLAH bagi dan menerimanya dengan hati terbuka sama ada cepat atau lambat,” katanya.


Dynas Mokhtar, 35, kembali bergelar isteri apabila selamat diijabkabulkan bersama pasangannya, Mohamad Shazrik Che Mohd Din, 36,  Sabtu lalu.


Majlis yang berlangsung sekitar 10.50 pagi di kediaman keluarganya di Shah Alam itu menyaksikan Dynas atau Wan Intan Edrinas dan pasangan dinikahkan sendiri bapanya, Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd, dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairul Anuar Mulim.


Pada majlis tersebut, pelakon Syurga Yang Kedua ini menerima mas kahwin berjumlah RM1001 berserta wang hantaran sebanyak RM30,000.


Pihak lelaki turut menghadiahkan tujuh dulang hantaran, termasuk set barangan kemas serba satu, dan berbalas sembilan daripada pihak perempuan di mana salah satunya adalah rawatan lasik bernilai RM13,000.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]