Dari kuari ke perbandaran

in Bisnes by


MENYELUSURI kawasan perbandaran cantik, eksklusif dan dilengkapi dengan pelbagai fasiliti kondusif, tiada siapa menyangka, kawasan ini asalnya hanyalah bekas kuari.


Terletak di Kuala Lumpur, tidak dapat dibayangkan sebelum ini, bekas kuari ini akan berubah wajah. Dibangunkan dengan begitu sempurna dan menjadi sebuah perbandaran yang sangat bernilai di negara ini.


Desa ParkCity yang tersergam gah ini, kini mencatatkan jumlah penduduk di kawasan perbandaran berkenaan mencecah 21,000.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ParkCity, Datuk Joseph Lau berkata, pada tahun 1999, Perdana ParkCity Sdn Bhd (ParkCity) memperoleh tapak Desa ParkCity seluas 473 ekar yang merupakan tanah pegangan bebas dan terletak 13 kilometer dari KLCC.


Menurutnya, pada masa itu, Desa ParkCity hanyalah tapak kuari aktif yang tidak sesuai untuk pembangunan, malah untuk menjadikan keseluruhan tapak projek sebagai pembangunan hartanah adalah satu tugas yang sukar dan besar.


“Sebagai sebuah kuari, kita menghadapi banyak cabaran. Landskap sangat mencabar disebabkan kondisi tanah yang kurang subur dan batuan bawah tanah. Ia memerlukan kos yang tinggal. Sukar untuk dijadikan taman hijau, jalan dan ruang terbuka.


“Selain itu, kami menanggung kos infrastruktur yang tinggi kerana keperluan letupan dan penggalian batu untuk meletakkan kabel bawah tanah, paip dan saliran. Namun kami tahu apa yang perlu dilakukan dan kami melihat tapak tersebut mempunyai potensi yang baik,” katanya.


16 fasa perumahan dibina


Pada 2002, kerja pembentukan tapak bermula dan produk perumahan pertama diperkenalkan. Sepanjang tempoh 10 tahun, 16 fasa perumahan siap secara berperingkat.


“Kami berjaya memperkenalkan konsep Parkhomes pertama yang berstrata dalam komuniti berpagar, dengan memperkenalkan konsep ‘place-making’ dan rekaan kediaman yang inovatif,” katanya.


Dalam tempoh 17 tahun, Desa ParkCity disenaraikan antara salah satu perbandaran komuniti di Kuala Lumpur yang paling selamat, menarik dan terlaris.


“Ia merupakan perbandaran komuniti yang dikagumi kerana pembangunan dan kehijauan landskap dan tamannya, rekaan kediaman yang inovatif, kejiranan yang selamat, serta tempat awam yang menarik.


“Malah, Desa ParkCity adalah perbandaran komuniti yang berkembang maju dan dilengkapi dengan tempat dan fasiliti awam yang dinamik seperti pusat perubatan Ramsay Sime Darby ParkCity, International School ParkCity, The Waterfront Neighbourhood Mall dan pusat komersil Plaza Arkadia yang menawarkan pengalaman gastronomi dan budaya dalam persekitaran taman yang subur, bersih dan terbuka luas,” katanya.


ParkCity juga membangunkan Sofiya Residensi iaitu projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) yang pertama di Desa ParkCity dan projek PPA1M kedua di bawah kumpulan ParkCity.


“Ia adalah satu penghormatan kepada kami apabila diberikan peluang mengambil bahagian dalam inisiatif awam-swasta ini,” tambah Lau.


Projek Sofiya Residensi ini terletak dalam pelan induk Desa ParkCity, berjumlah 752 unit pangsapuri yang dibina melebihi 4 ekar tanah. Semua unit bersaiz standard 862 kaki persegi yang terdiri daripada tiga bilik tidur, dua bilik mandi dengan balkoni.


“Ia memfokuskan pada keselesaan dalam aspek susun atur, reka bentuk dan kualiti,” katanya.


ParkCity bangunkan Miri, Sarawak


Selain Desa ParkCity, ParkCity juga membangunkan Marina ParkCity di Miri, Sarawak sejak tiga dekad lalu.


Lau berkata, Miri merupakan sebuah bandar pesisiran pantai yang dikelilingi Laut Cina Selatan dan pedalaman Kanada Hill mula menghadapi kekurangan tanah untuk pengembangan pada tahun 1990an.


“Air pasang menyebabkan hakisan berterusan dan menghalang navigasi kapal sekali gus memberikan kebimbangan kepada sektor minyak dan gas serta nelayan.


“Kerjasama antara Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah bersama Kumpulan Samling dibentuk untuk menangani masalah kekurangan tanah melalui penambakan dan langkah jangka panjang yang disediakan untuk menangani isu alam sekitar. Marina ParkCity dibina di atas tanah seluas 550 ekar yang ditambak itu,” katanya.


Lau berkata, pembangunan di Miri dibahagikan kepada Waterfront District, Market District, RiverPark District dan CityFront District. The Waterfront District adalah destinasi pinggir laut yang indah dengan laluan luas di pinggirnya, manakala RiverPark akan menempatkan komponen komersil dikelilingi taman, plaza dan air pancut. Daerah CityFront akan menjadi pusat kerajaan dan kewangan moden Miri dan Market District akan menawarkan tempat untuk mempamerkan warisan pasaran tempatan.


Miri Times Square yang baru-baru ini siap dibina terdiri dari unit-unit kedai, pejabat serta SoHo, hotel dan pasar raya. Berdekatan dengan Miri Times Square adalah taman Central Park seluas 15.7 ekar.


“Pelan induk kami diterima dengan baik oleh pasaran tempatan dan serantau. Semasa pelancaran projek SoHo – Kenyalang Corner, kami berjaya mencapai jualan sebanyak 80 peratus dalam masa dua minggu dan semuanya dijual dalam masa tiga bulan,” katanya.


Selain itu, ParkCity turut membangunkan ParkCity Eastwood di Miri, Sarawak. Berkeluasan 2,818 ekar, ia adalah pembangunan bersepadu pertama di Miri. Perbandaran ini secara langsung dikaitkan dengan Lebuh raya Pan Borneo, yang akan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.


“Pembangunan ini terdiri daripada projek komersial dan kediaman bercampur dengan sekolah, taman dan lain-lain. Ia juga turut mempunyai projek PPA1M, Melia Homes yang telah dilancarkan pada Mac 2017. Melia Homes terdiri daripada 1,075 unit rumah dua tingkat, dimana hampir 500 unit telah dibeli oleh penjawat awam,” katanya.


Pelopor konsep ‘New Urbanist’


Desa ParkCity mempelopori konsep ‘New Urbanist’ yang pertama di Malaysia, dengan memberi tumpuan dalam mewujudkan komuniti perbandaran terancang, sebuah konsep yang diterima dengan baik di pasaran Malaysia.


Lau berkata, semua pembangunan ParkCity mengintegrasikan komponen-komponen yang mesti dimiliki untuk kehidupan komuniti yang kontemporari iaitu kediaman yang selamat, dilengkapi dengan pusat komersial, pusat pendidikan serta tempat riadah dan hiburan.


“ParkCity berpegang pada lima teras yang memacu semua pembangunan yang kami rancangkan iaitu kekeluargaan, kejiranan, komuniti, penghubungan dan kemudahan,” katanya.


Selain di Malaysia, ParkCity juga turut mengembangkan projek pembangunannya di luar negara iaitu di Hanoi, Vietnam pada 2007.


“Dikenali sebagai ParkCity Hanoi, perbandaran komuniti ini adalah yang pertama di ibu negara itu dan diterima baik penduduk tempatan. Dengan dua fasa kediaman iaitu Nadyne Gardens dan Evelyne Gardens, ia juga dilengkapi dengan sebuah komuniti ‘clubhouse’,” katanya.


Pada 2017, ParkCity Hanoi berjaya menguasai kedudukannya dalam kalangan pembangunan hartanah di Vietnam dengan memenangi lima anugerah utama di majlis anugerah penghargaan hartanah terbesar dan berprestij di negara itu iaitu Property Guru Vietnam 2017.


“Antara anugerah yang dimenangi termasuk Pembangunan Perumahan Terbaik di Hanoi dan Pembangunan Perumahan Terbaik di Vietnam. Setelah siap, pelan induk seluas 190 ekar ini dijangka mempunyai 7,500 buah kediaman, pusat bandar, kemudahan awam dan sekolah, dan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM7 bilion,” katanya.


Komited pada DNA jenama


Lau berkata, pembeli semakin bijak mengenai pasaran hartanah semasa, ParkCity menyahut cabaran ini dengan terus melakukan pemantauan terhadap projek yang dibangunkan serta komited dengan visi serta DNA jenamanya.


“Kami yakin, ini akan membawa kami lebih jauh dalam menghasilkan projek yang berkualiti dan diterima baik oleh pembeli dan orang ramai,” katanya.


Katanya, ParkCity Holdings adalah syarikat pembangunan dan pelaburan hartanah serantau. Ditubuhkan pada tahun 1990, ParkCity adalah merupakan anak syarikat Samling Group, sebuah konglomerat Malaysia yang mempunyai pelbagai bidang perniagaan di beberapa negara, di seluruh dunia.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]