Penduduk teruja tunggu jalan baharu

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Rata-rata penduduk Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau menyambut baik pengumuman projek jalan luar bandar sepanjang 7.63 kilometer menghubungkan kampung itu dengan simpang Pokok Machang.


Zainab Awang Ahmad, 72, berkata, laluan biasa mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke lokasi berkenaan. Menurutnya, selama ini, penduduk menggunakan laluan pekan Bukit Selambau namun setelah jalan baharu siap kelak, mereka boleh terus ke Kuala Ketil dengan jarak hanya lebih kurang tujuh kilometer.


“Gembiralah bila jalan baru nak buat, lebih dekat nak ke sana,” katanya.


Sementara itu, Norisham Muhammad, 53, berkata, penduduk dimaklumkan bahawa satu laluan baharu akan dibina selewat-lewatnya Ogos nanti dan dijangka mengambil masa dua tahun.


“Lepas ni boleh lalu jalan baru, tetapi ada juga penduduk yang bimbang takut ganggu depa nak menoreh getah kat sini,” katanya.


Dia berharap agar projek berkenaan dapat memberi manfaat kepada penduduk berbanding kesan lain.


Che Gayah Osman, 58, berkata, pengumuman itu menunjukkan penduduk luar bandar turut merasai pembangunan yang dijalankan, diharapkan dengan adanya projek berkenaan, ia boleh bantu beri keselesaan kepada penduduk.


Baru-baru ini, kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengumumkan projek pembinaan jalan berkenaan yang mencecah RM38 juta.


Projek itu diumumkan Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang hadir menyempurnakan Majlis Pecah Tanah untuk Pembinaan Projek Jalan Sungai Muda dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin, Bukit Selambau.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]