PPANS semai tabiat membaca

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


SEREMBAN – Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan (PPANS) menganjurkan Program Jom Baca Bersama 10 Minit Sehari sebagai usaha menyemai tabiat membaca dari peringkat kanak-kanak sekali gus meningkatkan ilmu pengetahuan.


Program itu juga salah satu daripada inisiatif kolektif Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) yang bermula sejak tahun 2014.


Pada tahun ini, program itu bakal berlangsung esok dan ia melibatkan semua rakyat negeri ini pada acara yang dirancang bermula jam 11 sehingga 11.10 pagi.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan berkata, program itu ditambah baik dengan memberi galakan membaca sehari selama 10minit di samping menjadi amalan berterusan.


“PPANS selaku agensi yang menggerakkan aktiviti membaca dan menyampaikan maklumat sentiasa berusaha mendidik masyarakat terutama di Negeri Sembilan untuk menjadikan aktiviti membaca sebagai satu budaya atau cara hidup tanpa mengira umur.


“Peranan pelbagai pihak terutama ibu bapa dan guru-guru juga sangat penting dalam memupuk tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.


Menurutnya, rentetan itu, PPANS bersama MPAM, Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan negeri, Bahagian Teknologi Pendidikan negeri menganjurkan program tersebut sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2018.


“Di peringkat Negeri Sembilan seluruh jabatan-jabatan  Kerajaan Negeri Sembilan dan sekolah-sekolah akan turut  bersama – sama mengambil bahagian melaksanakan aktiviti pembacaan selama 10 minit dan menjadikan amalan Jom Baca Bersama 10 Minit Sehari ini secara berterusan.


“Perasmian Jom Baca Bersama 10 Minit Sehari 2018, akan berlangsung pada 24 April 2018 di Mydin Mall, Seremban 2, yang akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Kebudayaan dan Adat Istiadat Negeri, Datuk Abd Razak Ab Said,” katanya.


Mat Ali berkata, terdapat Slot Bicara Ilmu oleh penyanyi Ameng Spring pada jam 12 tengah hari selain pelbagai aktiviti menarik di perpustakaan negeri dan seluruh perpustakaan cawangan antaranya Pertandingan Jejak Maklumat yang terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah menengah, Pertandingan Bercerita, Jawi Champion dan Penulisan Kreatif.


 


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]