Sampel air sungai sudah diambil

in Edisi by


KUANTAN – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang sudah mengambil sampel air di Sungai Aur, Muadzam Shah bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan air sungai berkenaan bertukar menjadi warna hijau.


Pengarahnya, Rosli Zul berkata, sampel air sungai berkenaan sudah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis dan keputusan akan diketahui dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi.


“Setakat ini, kita perlu menunggu keputusan analisa sampel air Sungai Aur terlebih dahulu untuk menentukan langkah seterusnya. Kita juga dapati terdapat aktiviti perlombongan di kawasan hulu sungai berkenaan.


“Namun kita belum dapat pastikan sama ada punca air bertukar warna hijau adalah disebabkan daripada aktiviti perlombongan,” katanya di sini, semalam.


Sementara itu, penduduk, Ahmad Rizal Abdul Hani, 39, berkata, masalah yang sudah berlarutan lebih dua minggu yang lalu membimbangkan penduduk terutama yang tinggal sekitar sungai berkenaan.


“Sebelum ini air sungai berkenaan keruh dan tidak pernah berwarna seperti ini. Malah, ada juga ikan dan beberapa hidupan sungai itu, mati,” katanya.


Menurutnya, dia berharap masalah berkenaan perlu diselesaikan segera kerana air sungai menjadi sumber bagi bekalan air bersih di sekitar Muadzam Shah.


“Penduduk di sini yang biasa dengan sungai percaya masalah ini berpunca dari sungai Jeram yang terletak di hulu, cuma tak pasti apa yang berlaku di sana hingga menyebabkan kejadian ini berlaku.


“Kami sayangkan sungai ini dan hidupan di dalamnya seperti udang galah serta pelbagai jenis ikan, jika terus begini tidak tahu apa akan terjadi,” katanya.


Ahmad Rizal juga berharap supaya hasil keputusan analisis nanti perlu dimaklumkan kepada umum terutama penduduk setempat semua jelas mengenai puncanya.


Malah, katanya, jika ia berlaku disebabkan perbuatan pihak lain, tindakan tegas perlu diambil dan hukuman setimpal dikenakan.


“Jangan tunggu bila sudah berlaku apa-apa kes besa,  baru semua kecoh turun padang nak buat itu ini. Sebab itu perlu ada tindakan segera, bukan bila sungai sudah rosak baru fikirkan kaedah mengatasinya,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]