Sempat jerit ALLAH sebelum pengsan

in Edisi Johor by


MUAR- “ALLAH!” demikian ayat salah seorang mangsa yang terkena renjatan elektrik ketika ditemui pengsan ketika cuba memasang bendera parti berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Subari, Parit Yusof, di sini, Ahad lalu.


Mohd Izamuddin Mohammad Tahir, 57, ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku begitu pantas menyebabkan dia tidak sedar apa yang berlaku dan dia hanya terjaga sebaik tiba di Klinik Kesihatan Parit Yusof.


“Berdasarkan cerita rakan-rakan saya ditemui pengsan selepas terpelanting ketika melakukan kerja-kerja pemasangan. Saya hanya sedar kira-kira 15 minit selepas kejadian.


“Namun, saya masih ingat yang tangan saya berasa satu aliran yang sangat panas macam api ketika memegang batang buluh berkenaan sebelum saya tercampak dan pengsan,” katanya.


Menurut Izamuddin, insiden itu menyebabkan kecederaan pada dirinya iaitu patah tulang rusuk, selain melecur pada di kedua-dua belah tangan dan perut manakala dahinya turut luka akibat terjatuh di atas jalan tar.


Katanya, selama hampir tiga dekad bertugas sebagai pemasang bendera parti setiap kali tiba PRU, kejadian ini adalah yang pertama menimpa dirinya.


“Saya dah pasang bendera sejak 1980-an lagi, tapi insiden buruk tak pernah kena.


Tapi saya bersyukur sebab masih selamat dan cedera ringan. “Cuma sampai sekarang kalau nak bangun adalah rasa sakit dada juga. Tiga lagi rakan saya yang juga mangsa renjatan elektrik dilaporkan baik,” katanya.


Terdahulu, keterujaan 10 individu memasang tiang bendera parti berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi di Kampung Parit Yusof, di sini, terhenti apabila empat daripada mereka cedera selepas terkena renjatan.


Dalam kejadian jam 1.30 pagi, Ahad lalu, mangsa berusia 20-an hingga 40-an itu dikatakan sedang mengangkat tiang bendera sebelum secara tiba-tiba berlaku renjatan kilat hingga menyebabkan mereka terpelanting.


Calon PKR Dun Sungai Balang, Naim Jusri ketika dihubungi berkata, susulan kejadian itu, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Menurut Naim, kesemua mereka yang memacak tiang bendera hanya mencucuknya ke dalam tanah dan ia sama sekali tidak dipasang di tiang elektrik.


Beliau menafikan pendapat beberapa pihak yang mendakwa buluh sepanjang 56 kaki digunakan sebagai tiang bendera itu telah tersentuh dengan wayar elektrik dan sekali gus mengakibatkan renjatan.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]