500 jayakan Jom Baca Bersama

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Lebih 500 peserta menjayakan Program Jom Baca Bersama untuk 10 Minit yang diadakan selama 10 minit  bermula jam 11 pagi di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), hari ini.


Program berlangsung secara serentak di 84 perpustakaan awam daerah, perpustakaan desa negeri dan perpustakaan desa negara Malaysia di seluruh Terengganu itu adalah sempena Sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia 2018.


Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed berkata, program ini diadakan pada setiap tahun bagi mempromosi budaya membaca, penerbitan dan bagi menghormati hak cipta kepada setiap pereka cipta ilmu-ilmu yang telah dibukukan.


“Memang tempoh 10 minit itu tidak cukup namun ia sebenarnya sebagai simbolik kepada usaha menyemai tabiat membaca dalam kalangan masyarakat kita,” katanya ketika berucap merasmikan program itu, hari ini.


Hadir sama Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Azman Othman dan tetamu jemputan lain.


Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan sempena program itu termasuk pelancaran Kelab Pembaca Muda, pertandingan mewarna, marathon buku, pertandingan video pendek dan acara lain.


Menurut Marzialina, sambutan ini bertujuan memartabatkan kedudukan buku sebagai sumber pengetahuan utama walaupun teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat namun peranan buku sebagai wadah tetap kekal dalam membina peradaban dunia serta tamadun bangsa.


Beliau berkata, selain menggalakkan minat membaca, Hari Sambutan Buku dan Hakcipta Sedunia diharap dapat menanam kesedaran masyarakat terhadap pentingnya Akta Hakcipta yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan (Unesco).


“Masyarakat perlu menghormati hak cipta penulis, pengarang dan pencipta kerana mereka bersusah payah mencetus idea dan mengorbankan masa serta tenaga untuk menghasilkan sesebuah karya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]