779 nelayan darat Pahang terima elaun sara hidup

in Edisi Pahang by


KUALA ROMPIN – Seramai 779 nelayan darat daripada 1,481 yang berdaftar di negeri ini menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 seorang setiap bulan.


Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Azahari Othman, berkata, daripada jumlah itu juga seramai 150 nelayan darat di daerah ini menerima elaun berkenaan.


Menurutnya, Jabatan Perikanan turut memberikan bantuan kepada 80 individu masing-masing nelayan laut, nelayan darat dan penternak akuakultur berbentuk GPS, jala, pukat serta beg kalis air.


“Melalui bantuan ini kita harap akan ada peningkatan pengeluaran akuakultur dan pendaratan ikan yang menyumbang kepada ekonomi negara.


“Bukan sekadar itu, bermula 2015 hingga April 2018, sebanyak 5.32 juta benih ikan dilepaskan ke perairan umum antaranya spesis tamalian, lampam sungai, udang galah, kelah dan kerai,” katanya ketika berucap di Program Pelepasan Benih Udang Galah ke Perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Kelengkapan kepada Nelayan (Touch Point) Daerah Rompin 2018, kelmarin.


Program yang berlangsung di Kampung Gading itu turut dihadiri Naib Ketua Umno Rompin, Datuk Seri Maznah Mazlan dan Pemangku Ketua Umno Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.


Dalam program itu, sebanyak 150,000 benih udang galah dilepaskan di Sungai Rompin.


Azahari berkata, pelepasan pelbagai jenis benih ke perairan umum itu bagi memulihara, meningkat dan menjamin kelestarian sumber perikanan darat serta menjadi pemangkin kepada pembangunan industri perikanan rekreasi.


Sementara itu, pada program itu Hasan turut pembinaan Pusat Pembiakan (Hatcheri) Benih Udang di dua lokasi di daerah ini iaitu di Kampung Kedaik dan Kampung Gading.


“Pusat Pembiakan Benih Udang ini akan beroperasi di bawah bimbingan Jabatan Perikanan bertujuan membantu penduduk setempat mengeluarkan benih udang sendiri,” katanya.


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]