BN Selangor tanding semua kerusi

in Politik by


SHAH ALAM – BN Selangor mengesahkan akan bertanding di 22 kerusi Parlimen dan 56 Dun di Selangor pada PRU14 nanti.


Paling menarik, kehadiran semula orang-orang lama yang pernah dicalonkan dan pernah bergelar wakil rakyat kembali ‘berperang’ pada PRU kali ini antara tarikan menarik barisan calon PRU14 BN Selangor yang diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, semalam.


‘Comeback’ nama-nama besar BN Selangor seperti Datuk Sulaiman Karli, Datuk Marsum Paing, Datuk Muhamad Satim Diman, Datuk Dr Karim Mansor dan K Parthiban atau Cikgu Parthiban membuktikan keseriusan BN mahu merampas Selangor daripada Pakatan Harapan.


Kesemua nama di atas mempunyai aura tersendiri dan diyakini mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan akar umbi dan rakyat di kawasan masing-masing.


Kemasukan semula dan kepercayaan diberikan BN kepada calon-calon lama ini pasti bersandarkan asas tertentu yang telah diambil kira parti. Biarpun sesetengahnya mungkin memperlekeh dan mempersoalkan rasional mereka dicalonkan, BN mungkin ada strateginya.


Sama ada berbaloi atau tidak, pengundi akan membuat perhitungan itu pada 9 Mei ini.


Bagi Noh, barisan calon BN Selangor untuk PRU14 kali ini menampilkan 57 muka baharu.


“Daripada jumlah itu, 14 calon bertanding di kerusi parlimen manakala 43 lagi di kerusi dun.


“Pemilihan calon kali ini dianggap antara yang paling teliti pernah dilakukan parti, ia dilihat lebih seimbang dari segi usia serta latar belakang calon,” katanya pada sidang media selepas majlis pengumuman calon BN Selangor di Bangunan Umno Selangor, di sini semalam.


Pada masa sama, menurutnya, calon-calon yang ditampilkan adalah wanita (8), golongan profesional (13), ahli akademik (6), penjawat awam (6) dan bekas pegawai tentera (2).


“Baki calon lain pula terdiri daripada pelbagai latar belakang serta bidang termasuk golongan profesional.


“Ia menggambarkan calon yang ditampilkan mewakili kesemua golongan dan lapisan usia,” katanya.


Noh berkata, sembilan penyandang pula masih kekal bertanding di kerusi sama manakala dua penyandang digugurkan serta seorang meninggal dunia iaitu Kamarol Zaki Abdul Malik.


“Penyandang kerusi dun yang kekal adalah Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali), Rosni Sohar (Hulu Bernam), Datuk Shamsudin Lias (Sungai Burong), Sulaiman Abdul Razak (Permatang) dan Jakiran Jacomah (Bukit Melawati).


“Penyandang lain ialah Datuk Abdul Shukur Idrus (Kuang), Datuk Johan Abdul Aziz (Semenyih), Halimaton Saadiah Bohan (Kota Damansara) dan Shahrum Mohd Sharif (Dengkil),” katanya.


Tegasnya lagi, penyandang yang digugurkan pula adalah Budiman Mohd Zohdi (Sungai Panjang) dan Amiruddin Setro (Jeram).


“Budiman berpindah dari kerusi dun ke kerusi Parlimen Sungai Besar pada kali ini,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]