JDT kandas peringkat kumpulan AFC

in Sukan by


JUARA Piala AFC 2015, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan hasrat mara ke separuh akhir zon Asean, Piala AFC 2018 selepas gagal mendapatkan gol mencukupi untuk layak ke peringkat seterusnya.


Ternyata rezeki tidak menyebelahi Harimau Selatan meskipun pasukan itu menang pada aksi menentang Song Lam Nghe An FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin malam tadi yang berakhir dengan keputusan 3-2.


Rombakan besar-besaran senarai pemain daripada perlawanan sebelum ini dilihat menjadi apabila  JDT bermula dengan garang terutama setengah jam selepas sepak mula perlawanan.


Gol tuan rumah hadir pada minit ke-35 menerusi penyerang muda JDT, Safawi Rasid yang meledak jaringan kencang dari luar kotak penalti hasil hantaran Natxo Insa.


Tidak menunggu lama, Syafiq Ahmad kemudiaannya menambah jaringan hasil tandukan kemas ke gawang lawan selepas menerima hantaran Natxo Insa selepas dua minit gol pertama diperoleh.


Kegembiraan JDT tidak berkekalan lama selepas pemain lawan, Nguyen Viet Nguyen merembat masuk gol pertama buat Song Lam pada minit ke-40.


Harimau Selatan semakin hilang punca apabila Ho Tuan Tai berjaya mencari gol penyamaan buat Song Lam pada akhir babak pertama perlawanan.


Bermula babak kedua, perlawanan dilihat sedikit tegang apabila kedua-dua pasukan cuba mencari gol kelebihan, namun masing-masing enggan menemuinya.  


JDT akhirnya mempunyai peluang meletakkan kedudukan di depan apabila pemain mereka dikasari lawan pada minit ke-64 yang membawa kepada sepakan penalti.


Safiq Rahim dengan mudah menyempurnakan sepakan tersebut, sekali gus meletakkan JDT di hadapan dengan keputusan 3-2 hingga wisel penamat.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]