KIP REIT labur RM9.56 juta pasang sistem PV

in Bisnes by


KIP REIT Management Sdn Bhd (KIP REIT) akan memasang sistem solar fotovoltan (PV) untuk menjana tenaga sebanyak 2,730 kilowatt (kw) melibatkan enam aset hartanahnya dengan jumlah perbelanjaan RM9.56 juta.


Untuk melaksanakan pemasangan yang merupakan inisiatif hijau, KIP REIT bekerjasama dengan Pekat Solar Sdn Bhd (Pekat) selama 25 tahun.


Pengarah Urusannya, Datuk Chew Lak Seong berkata, pemasangan sistem PV itu melibatkan enam aset KIP REIT iaitu lima KIP Mart yang terletak di Tampoi, Kota Tinggi, Masai; Johor, Senawang; Negeri Sembilan dan Melaka serta di KIP Mall, Bangi Selangor.


“Inisiatif ini adalah gabungan kedua-dua pihak KIP REIT dan Pekat dengan asas perkongsian sebanyak 80:20, yang mana jumlah pelaburan KIP REIT adalah RM7.64 juta. Pelaburan ini merupakan dana melalui pinjaman bank.


“KIP REIT mengunjurkan inisiatif pemasangan sistem PV, penjimatan kos elektrik berjumlah RM26.4 juta sekali gus menambahkan pendapatan bersih tahunan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Induk 2,730 kwp Solar Photolvoltaic System KIP REIT Estate Investment Trust melibatkan KIP REIT dan Pekat, di Menara KIP, Kuala Lumpur.


Majlis perjanjian itu diwakili Edward Cheah Ken-Sze dari Pacific Trustees Berhad dan Wee Chek Aik dari Pekat Solar Sdn Bhd.


Hadir sama Pengarah Eksekutif KIP REIT Management Sdn Bhd, Datuk Eric Ong KL dan Pengarah Urusan Kumpulan Pekat Group, Chin Soo Mau.


Lak Seong berkata, usaha ini seterusnya akan diterjemahkan kepada penjimatan kos perbelanjaan operasi, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan hartanah bersih tahunan bagi KIP REIT.


“Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kami dalam membantu meningkatkan penghasilan tenaga hijau dan bersih bagi mengawal masalah pemanasan global,” katanya.


Tambahnya, pemasangan sistem solar PV tersebut akan bermula pada Mei ini dan dijangka siap dalam tempoh empat hingga lima bulan.


“KIP REIT menjangkakan inisiatif ini akan menambahkan 78.1 megawatt hours (mWh) elektrik daripada PV sistem iaitu menjimatkan 9,782 kilogram arang batu daripada dibakar untuk menghasilkan elektrik tersebut,” katanya.


Sementara itu, Soo Mau berkata, kerjasama itu merupakan satu inisiatif yang baik untuk menyediakan persekitaran yang selamat dan mengurangkan pengeluaran karbon.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]