Persimpangan bertingkat dibuka esok

in Edisi by


SEREMBAN – Persimpangan bertingkat baharu Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di Temiang akan dibuka penggunaannya kepada orang ramai mulai pagi esok.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, persimpangan itu memudahkan kira-kira 100,000 penduduk setempat untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.


Menurut beliau, sekali gus kewujudannya dapat mengatasi masalah kesesakan membabitkan satu-satunya laluan sedia ada yang digunakan orang ramai selama ini untuk ke bandar Seremban.  


“Ini juga jalan pintas kalau nak pergi destinasi macam Kuala Lumpur, Kajang, Kuala Pilah dan arah Selatan.


“Macam sebelum ini, mereka dari Temiang kena masuk bandar Seremban terlebih dulu. Sekarang dah tak perlu, sebaliknya terus saja ikut Lekas.


“Banyak masa dapat dijimatkan, lebih kurang satu jam,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan persimpangan berkenaan di sini, hari ini.


Turut hadir, Ketua Pemuda MCA, Senator Datuk Chong Sin Woon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Abd Halim Abd Latif.


Mengulas pembinaannya pula, kata Mohamad, persimpangan kira-kira sejauh dua kilometer itu menelan kos lebih kurang RM55.7 juta.


“Kita dapat kelulusan daripada kerajaan pusat pada 2013. Projek ini dibiayai Jabatan Perdana Menteri di bawah Ukas (Unit Kerjasama Awam Swasta).  


“Ukas beri RM48 juta dan baki selebihnya ditanggung pemaju iaitu Lapangan Kota. Sebab mereka ada kepentingan untuk bangunkan tanah di sini buat PR1MA dan lain-lain.


“Kelewatan projek ini bermula, bukan disengajakan. Kontraktor hanya dapat ambil alih tapak ini pertengahan 2015 dan siap sepenuhnya November 2017,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]