Sirih pulang ke gagang

in Politik by


KUALA PILAH – Pemilihan Adun Senaling, Datuk Ismail Lasim mewakili BN sebagai calon Kerusi Dun N15, Juasseh memberi kejutan sekali gus mengetepikan penyandang juga rakan seperjuangan, Datuk  Mohammad Razi Kail.


Keputusan pucuk kepimpinan parti itu sudah tentu menimbulkan tanda tanya namun suasana tenang di kawasan Juasseh menunjukkan penduduk dan penyokong bersetuju dengan pemilihan terhadap calon popular itu.


Percaturan itu ibarat, sirih pulang ke gagang apabila Ismail juga Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah yang juga anak jati Juasseh pulang ke kampung halaman untuk berkhidmat kepada rakyat setelah ‘dipinjam’ untuk menjadi wakil rakyat di Dun N17, Senaling selama empat penggal.


s/h: Tidak pernah tewas


Ismail yang mengaku tidak memiliki akaun media sosial seperti Facebook dan Instagram itu percaya kegigihan calon wakil rakyat tidak sekadar dinilai melalui kegiatan dipamerkan di ruang media sosial.


Malah, berdasarkan pemantauan secara komprehensif masyarakat mahu melihat wakil rakyatnya turun padang, ambil berat dan sering beramah mesra.


Pencapaian rekod terbaik tidak pernah tewas kepada pembangkang ketika merebut Dun Senaling membuktikan beliau ialah ‘winnable candidate’.


Perkara itu membuatkan beliau dilihat berkelayakan untuk dilantik sebagai calon di mana-mana kerusi dan boleh pergi lebih jauh jika diberi peluang pucuk pimpinan, mungkin di P129 Parlimen Kuala Pilah satu hari nanti.


Kredibiliti dalam kepimpinan dimiliki Pengerusi BN Parlimen Kuala Pilah itu menjadi keutamaan kepadanya yang mempunyai perancangan dan agenda terbaik buat rakyat Dun Juasseh.


Ismail berkata, Dun Juasseh yang sedang rancak dengan pembinaan perumahan baharu dilihat memiliki potensi untuk membangun.


“Sudah pasti saya rasakan ini adalah peluang terbaik untuk memajukan Dun Juasseh dan memberi peluang kepada rakyat memiliki rumah idaman. Bukan itu saja, jajaran lebuh raya baru dari Kuala Pilah menghala ke Pantai Timur sudah dibentangkan di Majlis Tindakan Negeri (MTN) dua bulan lalu.


“Pastinya dengan dasar baru ini mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan pertumbuhan pembangunan secara holistik bakal dilaksanakan di Juasseh khususnya,” katanya.


 


s/h: Jasa tidak dilupakan


Kerusi N15 Juasseh dikatakan kerusi panas kerana sering diintai oleh pembangkang terutama PKR pada setiap PRU, namun kesungguhan mereka masih tidak cukup kuat untuk menentang BN di Juasseh dan kerusi Dun itu juga tidak pernah tewas kepada mana-mana parti pembangkang.


Malah pada PRU13, BN mempertahankan kerusi Dun Juasseh dengan majoriti 1,688 undi sekali gus menewaskan calon PKR, Rosli Omar sekali gus memberi peluang kepada Mohammad Razi menabur bakti kepada rakyat di kawasan itu.


Beliau yang menyandang kerusi Dun Juasseh selama dua penggal memiliki kebolehan, kewibawaan, ketekunan serta keikhlasan dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dan jasanya pasti tidak akan dilupakan.


Rezeki tidak memihak Pengerusi Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan juga mantan Exco Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Bendahari Umno Bahagian Kuala Pilah itu untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.


Setelah pengguguran namanya pada senarai calon PRU14, beliau memuat naik status di Facebook dengan menyatakan terima kasih atas sokongan dan dorongan membantunya sepanjang berkhidmat selaku Adun Juasseh.


Beliau turut memohon maaf atas segala kesilapan dan segala kenangan pahit manis tetap menjadi kenangan bersama.


Mohammad Razi juga menyeru supaya penyokong terus berjuang untuk kemenangan BN dan berharap silaturahim berkekalan serta diberkati ALLAH di dunia dan akhirat.


 


Source: SH Politik

[featured-video-plus]