Suami Serina failkan notis tunjuk sebab

in Hiburan by
Gavin hadir ke mahkamah ditemani peguamnya, Zainul Rijal.

Suami Serina failkan notis tunjuk sebab


[ DIKEMASKINI]  PELAKON, Serina Redzuawan bakal berdepan dengan hukuman penjara berikutan bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh memfailkan notis tunjuk sebab berhubung pelanggaran perintah persetujuan bersama.


Gavin atau nama Islamnya Salahudin Ghaffar, 41, memfailkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pada 17 April lalu di sini.


Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin dalam prosiding itu di Mahkamah Tinggi Syariah berhujah, banyak pelanggaran didakwa dilakukan Serina.


“Serina telah melanggar perintah persetujuan apabila membenarkan anak mereka, Tristan Tareef O’luanaigh, 7 tahun dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 6 tahun bermalam sebilik dengan Chef Wan di kediaman bekas bapa mertuanya itu pada 3 Disember lalu.


“Dalam perenggan yang dipersetujui itu juga menyatakan anak-anak tersebut  harus tidur bilik berasingan daripada Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail,” katanya.


Menurutnya, Serina juga didakwa telah melanggar perenggan lapan perintah persetujuan bersama yang menghalang daripada memburukkan pemohon, Gavin dan anak- anak.


“Serina dalam posting Instagramnya yang bertarikh 19 dan 20 Mac telah memburukkan dan memperlekehkan ahli korporat  itu termasuk mendakwa Gavin berkhalwat.


“Serina juga telah mendakwa pemohon dihalang berjumpa Tristan dan Isabella selain anak- anak dilarang menghadiri kelas mengaji sedangkan Gavin telah menyediakannya,” katanya.


Beliau berkata, Serina turut melakukan pelanggaran perintah itu menerusi rancangan Melodi yang disiarkan pada 24 Februari jam 12.30 tengah hari.


“Justeru adalah wajar mahkamah mengeluarkan notis tunjuk sebab dan kenapa notis komital (pemenjaraan) tidak boleh dikenakan terhadap Serina,” katanya.


Hakim Syarie, Salehan Yatim menetapkan 21 Mei depan untuk keputusan.


Sebelum ini, perintah persetujuan bersama itu dicapai Gavin dan Serina yang dihadiri peguam kedua-dua pihak serta direkodkan pada 27 Julai 2017.


Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada tarikh tersebut turut memerintahkan hak penjagaan anak diberikan kepada Gavin manakala Serina diberi hak lawatan dan bermalam setiap minggu.


Pada 1 Ogos 2017, Gavin sah menceraikan Serina di Mahkamah Rendah Syariah Petaling selepas tujuh tahun melayari rumah tangga.


Source: SH Hiburan 1

[featured-video-plus]