7,000 pesakit baharu setiap tahun

in Edisi by


SEGAMAT – Kesedaran mengenai bahaya penyakit buah pinggang perlu dipertingkatkan kepada rakyat di negeri ini supaya langkah pencegahan dapat diambil dengan lebih awal sebelum mencapai tahap kronik dan kritikal.


Exco Kesihatan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, setiap tahun 7,000 pesakit baharu menjalani rawatan dialisis di negara ini dan peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) ini menunjukkan trend membimbangkan.


“Antara penyebab utama kerosakan buah pinggang ini adalah disebabkan penyakit kencing manis serta darah tinggi dan di daerah ini sahaja, 30,000 orang mempunyai dua penyakit ini dengan 30 peratus berisiko mengalami kerosakan buah pinggang.


“Kaedah pencegahan yang penting adalah mengamalkan gaya hidup sihat serta mengurangkan pengambilan makanan bergula dan bergaram kerana pengambilan berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit berbahaya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pemeriksaan Kesihatan Komuniti Bersama Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) di Dewan Serbaguna Felda Kemelah, di sini, hari ini.


Turut hadir, wakil NKF Negeri Johor, Nurul Husna Ibrahim; Pegawai Kesihatan Daerah Segamat, Dr Zaid Kassim; Pengurus Felda Kemelah, Ishak Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Kemelah, Ramali Rahmat.


Menurutnya, di peringkat kerajaan, Kementerian Kesihatan sentiasa bersedia membantu orang ramai mengatasi masalah penyakit yang dihidapi di samping program turun padang dilakukan NKF.


“Pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara percuma seperti hari ini (semalam) merupakan peluang terbaik untuk mereka mengetahui tahap kesihatan masing-masing agar tidak menjadi bertambah buruk.


“Berbanding darah tinggi, sakit jantung dan kencing manis, penyakit buah pinggang kurang memerlukan kos rawatan yang tinggi di mana setiap pesakit perlu membelanjakan kos dialisis kira-kira RM1,500 sebulan,” katanya.


Menurutnya, pada tahun ini juga, Kerajaan Pusat juga bersetuju menambah subsidi kepada pesakit dialisis daripada RM50 ke RM100 selain di negeri Johor kerajaan telah membelanjakan RM500 juta untuk kos ubat-ubatan.


Sementara itu, Nurul Husna berkata, NKF Zon Selatan yang beroperasi di Batu Pahat sehingga kini mempunyai dua pusat dialisis iaitu di Kluang dan Masai selain 26 pusat dialisis lain di seluruh negara.


“Pemeriksaan bergerak seperti hari ini (semalam) merupakan perkara baharu dan kita akan cuba pergi ke semua tempat kerana mahu memberi pendedahan awal dan langkah-langkah pencegahan berkaitan penyakit buah pinggang ini.”


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]