Aaira ke China hari ini

in Nasional by


PONTIAN – Bayi lapan bulan yang mengalami kegagalan fungsi hati (billary atresia), Siti Nur Aaira Ameera Mohd Mamdoh bersama ibu bapanya akan ke China jam 6.30 pagi ini bagi menjalani pembedahan hati di Hospital Renji, Shanghai China.


Ibunya, Siti Zubaidah Abdul Jalil, 41, berkata, mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) dan kemudiannya transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Jelasnya, mereka dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai jam 2 petang ini.


“Kami ditemani dua sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata yang akan membantu menguruskan soal perjalanan dan urusan di China kelak.


“Saya juga membawa adik, Norlailatull Hilalia Abd Jalil, 35, sebagai peneman di sana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Kuali, Serkat, tengah hari semalam.


Siti Zubaidah yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Permas Kelapa bersyukur kerana dapat menjadi penderma hati bagi Aaira yang merupakan anak bongsu dari lima beradik.


Katanya, dia yakin setiap ibu yang berdepan situasi sepertinya pasti tidak teragak-agak mendermakan hati demi melihat anak kembali sihat.


“Selepas menjalani pelbagai saringan kesihatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada akhir bulan lepas, doktor mengesahkan saya boleh menjadi penderma hati kepada Aaira.


“Alhamdulillah, doa saya sebagai ibu untuk menjadi penderma hati kepada Aaira dimakbulkan ALLAH,” katanya.


Doa rakyat Malaysia


Menerima ketentuan Ilahi, Aaira menghidap penyakit itu ketika bayi membuatkan Siti Zubaidah dan suami cukup kuat menghadapi ujian ini.


Mengakui bukan mudah untuk menghadapinya ditambah dengan keadaan anak ketiga, Mohd Danish Haidhar, 8, yang menghidap penyakit jantung berlubang.


Bagaimanapun, doa rakyat Malaysia yang tidak henti-henti mendoakan kesihatan Aaira memberi kekuatan buat Siti Zubaidah.


Siti Zubaidah tidak menyangka dia menerima hampir 1,000 mesej WhatsApp mengandungi doa dan kata-kata positif sebaik sahaja kisah Aaira yang memerlukan RM250,000 bagi pembedahan hati tular di media sosial pada 19 Februari lalu.


“Kedua ibu bapa saya, Abdul Jalil Abdul Moin, 62, dan Fauziah Abu, 61, sumber kekuatan bagi saya dan suami untuk tidak berputus asa merawat Aaira agar dia kembali sihat dan ceria seperti rakan-rakan sebayanya,” katanya.


Jelasnya, dia berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin sehingga dana RM250,000 yang diperlukan Aaira dapat dikumpul hanya tempoh masa singkat iaitu 20 hari.

Siti Zubaidah (kanan) bersama adiknya Norlailatull (kiri) melihat beg yang akan dibawa ke China.
Marsila


“Syukur, ini mungkin rezeki Aaira untuk dia jalani pembedahan pemindahan di China dengan segera sebelum usianya mencecah setahun.


“Tiada perkataan mampu digambarkan bagi menghargai sumbangan rakyat Malaysia termasuk pemimpin setempat, persatuan dan NGO selain ucapan jutaan terima kasih. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya,” katanya.


Sinar Harian turut memaparkan kisah Aaira menerusi ruangan Sinar Di Hati bermula pada 20 Februari lalu.


Jangka bedah 2 Mei


Siti Zubaidah memberitahu, dia dan Aaira dijangka akan menjalani pembedahan pemindahan hati pada 2 Mei ini di Hospital Renji, Shanghai China.


“Saya merayu kepada rakyat Malaysia untuk mendoakan agar pembedahan berjalan lancar. Buat masa sekarang kesihatan Aaira perlu dipantau agar dia tidak selesema dan batuk kerana boleh melambatkan pembedahan dilakukan ke atasnya.


“Berat badan Aaira juga sudah bertambah kepada 6kg sekarang berbanding hanya 5.3kg pada tiga minggu lepas. Aaira kini minum sepenuhnya susu formula khas,” katanya.


Siti Zubaidah berkata, dia juga perlu menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan supaya kadar kolesterol tidak tinggi.


“Selain mengambil menu makanan sihat, saya juga mengamalkan pengambilan oat dalam diet seharian,” katanya.


Kongsi kisah Aaira di media sosial


Siti Zubaidah berkata, dia mahu berkongsi kisah dan gambar Aaira di Facebook bagi membolehkan lebih ramai ibu bapa mengetahui tentang penyakit billary atersia (BA).


“Saya akan letak gambar Aaira di Facebook yang akan saya namakan sebagai Aaira BA Fighter. Perjalanan sehingga pembedahan pemindahan hati selesai turut akan saya kongsikan.


“Apa yang saya harapkan sekarang hanya doa dari rakyat Malaysia supaya kesihatan Aaira dalam keadaan baik dan selamat  jalani pembedahan itu nanti,” katanya.

Siti Zubaidah mendukung Aaira yang dijangka akan menjalani pembedahan hati di China pada 2 Mei ini.


Nadi Permata bantu segala urusan di China


Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Nadi Permata Malaysia (Nadi Permata), Marsila Yuhaini Baharuddin berkata, segala urusan termasuk tempat tinggal, makanan dan pengangkutan bagi ibu bapa Aaira di China akan diuruskan Nadi Permata.


Jelasnya, bantuan pihaknya akan memudahkan ibu bapa Aaira sepanjang berada di Hospital Renji kelak.


“Selain saya, Setiausaha Nadi Permata, Juraini Hasan akan turut sama ke China. Kami berdua akan membantu ibu bapa Aaira. Urusan dengan pihak doktor di sana juga akan kami bantu.


“Untuk pengetahuan, Aaira merupakan pesakit hati yang ke-23 dibantu Nadi Permata sejak dari 2014,” katanya.


Tambah Marsila, penerangan sudah diberikan kepada ibu bapa Aaira sebelum ini dan berharap agar segala urusan di China berjalan lancar.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]