Cubaan 17 Pati masuk Malaysia gagal

in Edisi Utara by


BUKIT KAYU HITAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pasukan Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) menahan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini awal pagi tadi.


Panglima 6 Briged Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata Pati berumur antara 16 dan 40 tahun itu terdiri daripada 15 lelaki dan dua wanita ditahan pada 1.30 pagi berhampiran Sektor Pos 1, sempadan Bukit Kayu Hitam.


“Kesemua mereka ditahan selepas pasukan rondaan pejalan kaki melihat sekumpulan orang awam di dalam kebun getah dalam keadaan mencurigakan sebelum melakukan serbuan dan kepungan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.


Mereka dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 5 Rejimen Sempadan (5 RS) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan ke Balai Bolis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Abdul Aziz berkata pasukannya tidak akan berkompromi dalam hal-hal keselamatan negara dan akan terus mengetatkan kawalan serta rondaan bagi mengekang sebarang bentuk kegiatan penyeludupan dan pencerobohan Pati ke negara ini.


“Sektor Pos 1 adalah kawasan tumpuan Pati menyusup ke negara ini kerana ia laluan utama berbanding sektor pos lain. Kita sentiasa bersiap-siaga mematahkan cubaan lintas sempadan bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi,” katanya. – Bernama


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]