Doktor salah bedah pesakit

in Global by


NEW DELHI – INDIA. Seorang pakar bedah di sebuah hospital di New Delhi dilucutkan jawatan atas kecuaian kerana melakukan pembedahan yang tidak perlu pada kaki seorang lelaki selepas beliau keliru antara mangsa dan pesakit lain, menurut pegawai, semalam.


Pakar bedah terbabit dilaporkan menebuk kaki kanan Vijendra Tyagi, 50, untuk memasukkan pin sebelum menyedari beliau tersalah membedah pesakit ketika kejadian pada minggu lalu.


Terdahulu, Tyagi dimasukkan ke Pusat Trauma Sushruta di ibu negara kerana mengalami kecederaan pada kepala selepas terlibat dalam kemalangan kereta.


Penguasa perubatan hospital, Ajay Bahl berkata, pesakit telah diberi ubat bius dan doktor terbabit tidak boleh membetulkan kesilapannya.


“Beliau menyedari kesilapannya dan telah mengeluarkan pin tersebut daripada kaki mangsa. Doktor tersebut juga memohon maaf atas kesilapannya, namun kami tidak membuat sebarang pengecualian dan mengambil tindakan ke atasnya,” kata Bahl.


Difahamkan, Tyagi telah keluar dari hospital pada akhir minggu lalu dan dia masih memerlukan tempoh selama seminggu untuk pulih daripada pembedahan kaki itu.


Minggu lalu, dua doktor ditahan atas kecuaian selepas didakwa gagal untuk mendiagnosis seorang ahli fisioterapi berusia 51 tahun yang mengalami tekanan darah tinggi hingga menyebabkan mangsa meninggal dunia berikutan jantungnya terhenti. – AFP


Source: SH Global

[featured-video-plus]