Elak pencemaran alam sekitar

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Masyarakat umumnya disarankan agar tidak melakukan pencemaran di hutan melalui pembuangan plastik di sungai-sungai yang mempunyai ekositem sempurna.


Pengarah Urusan TDK – Lambada Malaysia Sdn Bhd (TLMK), Kazuo Shimizu berkata, dengan mengamalkan konsep ‘Reuse, Reduce dan Recycle’ (3R) dapat memberikan kesan mendalam terhadap penjagaan alam sekitar.


Menurutnya, tidak hanya tertumpu kepada penjagaan malah orang ramai perlu mempunyai perasaan menyintai alam sekitar sekali gus mempelajari kepentingan ekosistem.


“Tema untuk hari Hutan Sedunia tahun ini, Hentikan Pencemaran Plastik sangat bertepatan dengan usaha syarikat ini untuk bersama-sama menghentikan pencemaran sungai melibatkan pembuangan sisa plastik yang begitu berleluasa.


“Di kilang ini kita telah lama mengamalkan konsep 3R dan berusaha untuk mengambil peluang menerapkan kesedaran tersebut membabitkan masyarakat luar kerana percaya ia dapat membantu mengurangkan pencemaran,” katanya.


Beliau berkata kepada Sinar Harian selepas program sambutan Hari Hutan Sedunia dengan kerjasamaa Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan Jabatan Perhutanan di Sungai Lembing, di sini.


Dalam program tersebut, seramai 40 orang terdiri daripada kakitangan TLMK, wakil Jas dan rakan alam sekitar melakukan ekspedisi ke Air Terjun Pelangi, Sungai Lembing.


Ekspedisi tersebut memberi pendedahan kepada mereka untuk mempelajari tentang ekosistem sungai dan hutan.


Dalam pada itu juga, katanya, dengan bantuan agensi terbabit menerusi program tanggungjawab sosial korporat pihaknya turut melakukan pelbagai perkongsian dengan penduduk setempat.


“Dalam kesempatan berada di kawasan pedalaman Sungai Lembing, kami telah berkunjung ke perkampungan Kuala Kenau dan bertemu dengan komuniti kampung menjalankan aktiviti berkonsepkan cintai alam sekitar.


“Wakil daripada TLMK dan jabatan turut memberi taklimat tentang kesedaran seterusnya menanam anak-anak pokok menggunakan botol plastik terpakai.


“Sebangak 15 batang anak pokok kayu itu disumbangkan Jabatan Perhutanan ditanam di kawasan sekitar kampung termasuk Tadika Kampung Kuala Kenau,” katanya.

 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]