Geely lancar kereta konsep baharu di Auto China 2018

in Bisnes by


GEELY Auto, jenama kereta milik persendirian terbesar China, melancarkan kereta konsep futuristik baru, ‘Ikon Konsep’ dan sedan kuasa baharunya, Bo Rui GE pada Pameran Automotif Antarabangsa Beijing 2018 (Auto China 2018).


Geely berkata, kereta Ikon Konsep yang pertama kali diperkenal di peringkat global itu mewakili penjelajahan baru sejauh mana ia dapat memanfaatkan  DNAnya untuk memberikan penawaran unik untuk pelanggan masa depan.


Kereta konsep baru itu dibangunkan di studio Geely Design di Shanghai, yang diterajui ketua reka bentuk pusat tersebut, Guy Burgoyne.


Burgoyne berkata, Ikon Konsep itu direka menggunakan bahasa reka bentuk yang ringkas dan halus yang memfokus kepada dua kata kunci iaitu ‘berteknologi tinggi’ dan ‘memberi inspirasi’ dan ini menghasilkan penciptaan produk teknikal dengan ciri khas tetapi mengekalkan ciri Geely.


“Ikon Konsep merangkumi ciri-ciri penting Geely Auto dan merupakan ekspresi keyakinan global yang kami ada dalam keupayaan reka bentuk dan kejuruteraan kami.


“Ini membolehkan kami menetapkan trend dan penanda aras baru dalam industri automotif yang lebih meluas,” katanya pada Auto China 2018, yang berlangsung hari ini hingga 4 Mei.


Sementara itu, sedan utama kuasa Geely, Bo Rui GE telah dihasilkan dengan dua pilihan.


Yang pertama ialah pemancaran elektrik (PHEV) yang menggunakan 1.5 Turbo (T) dan tujuh transmisi dwi-klac yang dibangunkan  secara bersama oleh Volvo dan Geely, yang mampu mengurangkan penggunaan bahan api kepada hanya 1.6 liter (L) setiap 100 kilometer (km).


“Pilihan kedua adalah yang pertama untuk pasaran China di mana kami membangunkan versi hibrid sederhana 48-volt menggunakan enjin 1.5T yang sama yang mengurangkan penggunaan bahan api 15 peratus berbanding versi petrol tradisional kepada hanya 5.8L setiap 100 km,” kata pembuat kereta itu.


Bo Rui GE diperkenalkan oleh Naib Presiden Reka Bentuk Geely, Peter Horbury, yang berkata sebagai kenderaan hibrid, Bo Rui GE membawa Geely satu langkah lebih dekat untuk memenuhi Inisiatif Blue Geely, di mana ia merancang untuk menghasilkan kenderaan kuasa baharu secara besar-besaran  menjelang 2020.


“Dengan Bo Rui GE, kami telah mencipta kenderaan yang merangkumi aspirasi tinggi Geely. Ia mewakili standard baharu  untuk kuasa baharu,” katanya.


Bo Rui GE boleh didapati di pasaran China pada separuh pertama 2018 dengan pelancaran global secara beransur-ansur.


Syarikat itu menyasarkan 90 peratus jualan kenderaannya menjelang 2020 akan terdiri daripada kenderaan kuasa baru berdasarkan tiga teknologi teras iaitu elektrik tulen (EV), PHEV dan elektrik hibrid (HEV).


Geely berkata, ia merancang untuk jualan kenderaan kuasa baru tersebut dibahagikan kepada 65 peratus untuk PHEV dan HEV, manakala 35 peratus lagi daripada EV menjelang 2020.


China telah muncul sebagai pasaran terbesar dalam industri kereta global, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada jualan global dengan 30 juta kereta baru setiap tahun. – Bernama

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]