KWSP labur RM4.86 bilion

in Bisnes by


KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur sejumlah RM4.86 bilion dalam saham permodalan kecil dan sederhana di Malaysia menerusi pengurus dana dalaman dan luar sehingga 31 Disember 2017.


Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, sehingga akhir 2017, dana pencen itu telah melabur dalam 192 syarikat permodalan kecil dan sederhana dan ia komited untuk mencari lebih banyak syarikat yang baik bagi menambah kepada portfolio sedia adanya.


“KWSP akan sentiasa memantau dan menilai prestasi syarikat permodalan kecil dan sederhana negara untuk melihat sama ada ia sesuai bagi pelaburan dan juga profil pulangan risiko dana persaraan itu.


“Antara kualiti yang dicari daripada syarikat-syarikat tersebut adalah tadbir urus yang baik, struktur kos dan prestasi perniagaan yang kukuh,” katanya.


Beliau menjelaskan KWSP, juga membuat pelaburan bersama dengan syarikat permodalan kecil dan sederhana bagi membantu pertumbuhan mereka.


“Kami melihat potensi masa depan daripada mereka, yang juga boleh membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan pelaburan dana pencen itu,” katanya.


Dalam pada itu, Shahril Ridza berkata, portfolio ekuiti kekal menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan KWSP, yang merekodkan kenaikan lapan peratus kepada RM334.23 bilion sehingga akhir Dis 2017 daripada RM309.48 bilion pada 2016.


“Memandangkan dana kami terus berkembang, kami sentiasa terbuka kepada peluang pelaburan baharu yang boleh menyediakan pendapatan mampan bagi tempoh jangka panjang,” katanya.


Menurut Laporan Tahunan KWSP 2017, pendapatan pelaburan kasar sehingga 31 Dis, 2017 berjumlah RM53.14 bilion dan aset pelaburan berjumlah RM791.48 bilion dengan pulangan bagi pelaburan 7.30 peratus.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]